Kerap kali kita diperdengar pepatah arab yang berbunyi;
“Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.”
Tetapi sejauh manakah manusia mengambil iktibar dari pepatah ini? Bibir lancar menutur kata, tetapi tidak semudah itu anggota mampu dikerah untuk bekerja bersama.
Ingin saya lontarkan secebis kata hati;
“Hidup penuh harta tetapi sifar kasih sayang, ibarat belayar dengan perahu bocor kemudian akhirnya hilang ditelan ombak.”
Sesungguhnya pelajar yang menuntut ilmu semata-mata kerana inginkan hidup yang mewah bukan suatu matlamat yang tepat. Kerana ilmu yang diguna semata-mata untuk mencari wang kelak mampu menjadi racun dalam hidup.
Saya mempunyai impian untuk melahirkan pelajar yang berilmu kerana ingin mengenal Pencipta. Semakin dalam ilmu yang digali, semakin tinggi keinginannya untuk mendekati Yang Maha Esa. Bukan kemewahan hidup yang dicari, tetapi keindahan di alam sana yang dinanti.
Tuntutlah ilmu kerana DIA, bukan kerana dunia. Makin mewah hidup di dunia, membuat diri makin tunduk pada Pencipta.
Sukar, namun ia mampu dikecapi. Selagi mana niat di hati hanya untuk DIA, pasti akan ada jalan yang DIA tunjukkan pada kita.
ALWAYS TRUST HIM.
“PENDIDIKAN ITU SEHARUSNYA MEMANUSIAKAN MANUSIA”
Apabila saya melihat bait kata di atas, terlintas di benak fikiran ini bagaimanakah pendidikan itu dapat memanusiakan manusia? Terfikir juga bahawa siapakah pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini agar dapat melahirkan manusia yang benar-benar memiliki nilai-nilai kemanusiaan?
Jika dilihat definisi ‘pendidikan’ berdasarkan Kamus Dewan Edisi ke-empat, pendidikan itu sendiri adalah merupakan segala perihal atau perbuatan mendidik, mengajar serta memberikan ilmu sama ada melibatkan perkara positif atau pun negatif. Selagi mana melibatkan fungsi pengajaran, maka dikatakan perkara tersebut termasuk dalam makna pendidikan.
Moga menjadi manfaat kepada semua!


