Pergi ke kandungan

Pietas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pietas, sifat murni maharaja Antoninus Pius, dilambangkan oleh seorang wanita yang menawarkan korban pada belakang syiling sestertius ini
Flavia Maximiana Theodora di bahagian hadapan, di bahagian belakang Pietas mengendong bayi ke payudaranya

Pietas (Latin Klasik: [ˈpiɛtaːs]), yang pernah diterjemahkan kepada "kewajipan", "kesolehan"[1] atau "tingkah laku beragama",[2] "kesetiaan",[3] "pembaktian", atau "taat ibu bapa" (perkataan bahasa Inggeris: piety yang bermaksud "takwa" berasal daripada Latin), adalah salah satu nilai murni utama dalam kalangan masyarakat Rom kuno. Ia merupakan nilai terunggul wira yang mengasas Rom, Aeneas, yang sering diberi adjektif gelaran pius ("beragama") sepanjang epik Aeneid karya Virgil. Sifat suci pietas ini digambarkan dengan dewi yang mempersonifikasikannya bernama Pietas, yang sering digambarkan pada duit syiling Rom. Padanan dalam bahasa Yunani ialah eusebeia (εὐσέβεια).[4](m/s.864–865)

Cicero mentakrifkan pietas sebagai nilai "yang menasihati kita untuk melaksanakan kewajipan terhadap negara kita, ibu bapa, atau saudara darah yang lain."[5] Lelaki yang memiliki pietas "melaksanakan semua kewajipannya terhadap tuhan dan sesama manusia dengan sepenuhnya dalam semua aspek," seperti yang diterangkan oleh sarjana klasik abad ke-19, Georg Wissowa.[6] Cicero mengesyorkan manusia untuk sedar dengan maruah mereka sendiri dan sentiasa berusaha untuk menaikkan maruah orang lain dengan pujian yang bermaruah. Selain itu, pujian, kekaguman dan tindakan terhormat mesti melangkaui keinginan peribadi, dan perbuatan serta kata-kata mesti dipilih dengan menghormati rakan, rakan sekerja, keluarga, atau saudara darah. Cicero menggambarkan pemuda dalam usaha mengejar maruah: “Betapa mereka mendambakan pujian! Apakah usaha yang tidak akan mereka jalankan untuk tetap teguh di kalangan rakan sebaya mereka! Betapa mereka akan mengingati orang yang telah menunjukkan kebaikan kepada mereka dan betapa bersemangat untuk membalasnya!”[perlu rujukan]

Penggunaan pertama pietas yang direkodkan dalam bahasa Inggeris berlaku dalam karya Anselm Bayly The Alliance of Music, Poetry, and Oratory, yang diterbitkan pada tahun 1789.[7][pengesahan diperlukan]

Sebagai nilai murni

[sunting | sunting sumber]

Pietas erga parentes ("pietas terhadap ibu bapa") adalah salah satu aspek paling penting dalam menunjukkan nilai murni. Pius sebagai nama keluarga (cognomen) berasal sebagai cara untuk menandakan seseorang sebagai sangat "soleh" dalam erti ini: pengumuman pietas peribadi melalui nama rasmi nampaknya adalah inovasi pada zaman Republik Akhir, apabila Quintus Caecilius Metellus Pius menggunakan gelaran itu atas usahanya membawa bapanya, Numidicus, kembali dari buangan.[4]:880 Pietas juga merangkumi "ibu bapa" dalam erti kata "nenek moyang," dan merupakan salah satu prinsip asas tradisi Rom, seperti yang dilihat dalam penjagaan si mati.[8] Sebagai nilai murni, pietas wujud dalam diri seseorang, berbeza dengan nilai atau anugerah seperti Victoria, yang diberikan oleh dewa-dewi. Namun, pietas memungkinkan seseorang untuk mengenali sumber ilahi bagi segala manfaat yang diterima.[4]:878

"Seorang warga Rom yang memiliki nilai pietas tidak meninggalkan kewajipan agamanya di pintu kuil tetapi membawanya ke mana-mana, mengikuti kehendak dewa-dewi dalam urusan perniagaan dan kehidupan sehariannya." — Max Pfingsten[9]

Pietas memainkan peranan penting dalam hubungan antarabangsa dan diplomasi. Kredibiliti seorang panglima bergantung pada kesediaannya untuk mengetepikan kepentingan peribadi dan sepenuhnya mendedikasikan dirinya kepada satu tujuan, menahan diri daripada mengkhianat. Penekanan terhadap kredibiliti ini menyebabkan reputasi panglima individu dan negara Rom sendiri memainkan peranan pragmatik dalam perundingan dan perbincangan. Komitmen panglima kepada fides perlu konsisten, menunjukkan kredibiliti dalam segala yang dilaksanakan dan pendekatan yang tetap dalam berurusan dengan entiti-entiti jiran. Menghormati kontrak sedia ada bermakna menepati ikrar dan sumpah, sekali gus mengukuhkan komitmen Rom kepada tingkah laku beretika dan strategi diplomatik yang berterusan. Peluang menyelesaikan konflik menjadi minimum sekiranya penipuan menjadi norma dalam rundingan oleh para panglima.[9]

Ikonografi

[sunting | sunting sumber]
Denarius Herennius, menggambarkan Pietas dan perbuatan Pietas.

Pietas sering dilambangkan pada duit syiling dengan objek pujaan, tetapi juga sebagai seorang wanita yang menjalankan upacara korban menggunakan api di sebuah mazbah.[2]:286 Dalam imejan korban, penuangan cecair suci ialah tindakan asas yang menjadi lambang pietas.[10]

Pietas pertama kali muncul pada duit syiling Rom dalam denarii yang dikeluarkan oleh Marcus Herennius pada tahun 108 atau 107 SM.[4]:880 Pada bahagian depan syiling, Pietas ditampilkan sebagai personifikasi dewi dalam bentuk patung sekerat. Kualiti pietas digambarkan oleh seorang anak lelaki yang memikul bapanya—simbolisme ini diulang dalam epik Aeneid karya Virgil, yang mana Aeneas memikul bapanya, Anchises, keluar dari kota Troia yang sedang terbakar.[4]:880 Pietas termasuk dalam nilai-nilai murni yang kerap muncul pada syiling zaman Empayar, termasuk yang dikeluarkan di bawah pemerintahan Hadrianus.[11]:813

Salah satu simbol pietas ialah burung bangau, yang diperikan oleh Petronius sebagai pietaticultrix, "pemelihara pietas." Bangau melambangkan kesolehan anak kepada ibu bapa khususnya, kerana orang Rom percaya burung ini menunjukkan kesetiaan keluarga dengan kembali ke sarang yang sama setiap tahun dan menjaga ibu bapanya ketika tua. Kerana itu, bangau terdapat di belakang Pietas pada duit syiling yang dikeluarkan oleh Metellus Pius (rujuk cognomen ini di atas).

Sebagai dewi

[sunting | sunting sumber]
Kuil Ketakwaan bersama Kuil Harapan dan Juno Sospita di Forum Olitorium, dilukis oleh Lanciani
Kawasan Forum Olitorium dan Teater Marcellus dalam model skala Rom kuno di Muzium Tamadun Rom

Pietas dianggap sebagai kehadiran ilahi dalam kehidupan seharian yang memberi amaran kepada manusia agar tidak menceroboh alam dewa.[12][2]:286 Pelanggaran pietas memerlukan piaculum (upacara penebusan dosa).[2]:286

Kuil Ketakwaan di Rom dijanjikan secara rasmi oleh konsul plebs dan homo novus ("orang baharu", lelaki pertama dalam keluarganya yang berkhidmat di Senat Rom) Manius Acilius Glabrio semasa Pertempuran Thermopylae pada tahun 191 SM, di mana beliau mengalahkan maharaja Antiochus Agung dalam Perang Rom-Seleukia.[13][11]:741–742[4]:845 Kuil ini disiapkan oleh anak lelakinya dan didirikan di hujung barat laut pasar sayur Rom (Forum Olitorium), berhampiran Gerbang Carmental. Kuil ini juga memiliki patung emas bapanya, yang menjadi patung pertama seorang warganegara Rom dalam kota tersebut.

Menurut legenda ajaib (miraculum),[14] seorang wanita miskin yang kelaparan di penjara terselamat dengan anak perempuannya memberikan susu badan kepadanya. Apabila perbuatan itu diketahui, anak perempuan tersebut tidak dihukum, malah diiktiraf kerana pietas-nya. Ibu dan anak perempuannya dibebaskan serta diberi sokongan awam sepanjang hayat mereka. Tempat itu dianggap suci untuk dewi Pietas (consecratus deae) kerana dia dipercayai telah menunjukkan kehadirannya di sana.[11]:742[4]:880 Kisah ini menggambarkan pietas erga parentes, iaitu pembaktian yang wajar ditunjukkan kepada ibu bapa sendiri.[4]:880

Wanita Imperial sebagai Pietas

[sunting | sunting sumber]

Pietas sering digambarkan sebagai dewi pada bahagian belakang duit syiling empayar Rom, dengan wanita dari keluarga imperial pada bahagian hadapan,[15] kerana ia dianggap nilai murni yang sesuai dikaitkan dengan mereka. Wanita daripada keluarga empayar juga mungkin digambarkan dalam seni dengan rupa sebagai dewi tersebut.

  1. ↑ Williams, Jonathan (2007). "Religion and Roman Coins". Dalam Rüpke, Jörg (penyunting). A Companion to Roman Religion. Blackwell. m/s. 156. doi:10.1002/9780470690970.ch11. ISBN 9781405129435.
  2. 1 2 3 4 Belayche, Nicole (2007). "Religious Actors in Daily Life: Practices and Related Beliefs". Dalam Rüpke, Jörg (penyunting). A Companion to Roman Religion. Blackwell. m/s. 279. doi:10.1002/9780470690970.ch20. ISBN 9781405129435.
  3. ↑ Bernstein, Frank (2007). "Complex Rituals: Games and Processions in Republican Rome". Dalam Rüpke, Jörg (penyunting). A Companion to Roman Religion. Blackwell. m/s. 227. doi:10.1002/9780470690970.ch16. ISBN 9781405129435.
  4. 1 2 3 4 5 6 7 8 Fears, J. Rufus (1982). "The Cult of Virtues and Roman Imperial Ideology". Dalam Temporini, Hildegard; Haase, Wolfgang (penyunting). Aufstieg und Niedergang der römischen Welt: Geschichte und Kultur Roms im Spiegel der neueren Forschung. Jil. II. Berlin: Walter de Gruyter. ISBN 9783110095197.
  5. ↑ Cicero. De inventione. 2.22.66. pietatem, quae erga patriam aut parentes aut alios sanguine coniunctos officium conservare moneat as quoted by Wagenvoort, Hendrik (1980). Pietas: Selected Studies in Roman Religion. Studies in Greek and Roman Religion. Jil. 1. Brill. m/s. 7. ISBN 9004061959.
  6. ↑ Wissowa, Georg. Ausführliches Lexikon der griechischen und römischen Mythologie. Jil. supplemental. As quoted by Wagenvoort, Hendrik (1980). Pietas: Selected Studies in Roman Religion. Studies in Greek and Roman Religion. Jil. 1. Brill. m/s. 7. ISBN 9004061959.
  7. ↑ "pietas". Oxford English Dictionary Online.
  8. ↑ Heid, Stefan (2007). "The Romanness of Roman Christianity". Dalam Rüpke, Jörg (penyunting). A Companion to Roman Religion. Blackwell. m/s. 408. doi:10.1002/9780470690970.ch28. ISBN 9781405129435.
  9. 1 2 Pfingsten, Max. "Roman Virtues and Stoicism" (PDF). Asheville, N.C.: Asheville School. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 15 Mei 2019. Dicapai pada 15 Mei 2019.
  10. ↑ Scheid, John (2007). "Sacrifices for Gods and Ancestors". Dalam Rüpke, Jörg (penyunting). A Companion to Roman Religion. Blackwell. m/s. 265. doi:10.1002/9780470690970.ch19. ISBN 9781405129435.
  11. 1 2 3 Fears, J. Rufus (1982). "The Theology of Victory at Rome: Approaches and Problem". Dalam Temporini, Hildegard; Haase, Wolfgang (penyunting). Aufstieg und Niedergang der römischen Welt: Geschichte und Kultur Roms im Spiegel der neueren Forschung. Jil. II. Berlin: Walter de Gruyter. ISBN 9783110095197.
  12. ↑ Cicero. De Legibus. 2.22.
  13. ↑ Livy. "Perseus and Demetrius". From the Founding of the City. 40.34.4.
  14. ↑ Plinius yang Tua. Natural History. 7.121. Valerius Maximus. "Of Piety toward Parents". Memorable Deeds and Sayings. 5.4.7. Seperti yang dipetik oleh Fears, J. Rufus (1982). "The Theology of Victory at Rome: Approaches and Problem". Dalam Temporini, Hildegard; Haase, Wolfgang (eds.). Aufstieg und Niedergang der römischen Welt: Geschichte und Kultur Roms im Spiegel der neueren Forschung. Jil. II. Berlin: Walter de Gruyter. m/s 742, nota 10. ISBN 9783110095197.
  15. ↑ "Roman Coins Issued During the Reign of Emperor Hadrian". Dig4Coins.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-10-26.

Bibliography

[sunting | sunting sumber]