Pergi ke kandungan

Sultan Badlishah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sultan Badlishah
Paduka Seri Sultan dan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Kedah Darul Aman
Sultan Badlishah
Sultan Kedah ke-27
Pemerintahan13 Mei 1943 - 13 Julai 1958
Didahului olehSultan Abdul Hamid Halim Shah
Diikuti olehSultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
Raja MudaTunku Abdul Halim
Menteri Besar (sejak 1948)
Lihat senarai
Raja Muda Kedah
Pemerintahan1935-1943
Didahului olehTunku Muhammad
Diikuti olehTunku Abdul Halim
Keputeraan17 Mac 1894
Alor Setar, Kedah
Kemangkatan13 Julai 1958 (umur 64)
Hospital Besar, Alor Setar, Kedah
PemakamanMakam Diraja Langgar, Alor Setar
Pasangan
Anakanda
Lihat senarai
KerabatMahawangsa
AyahandaSultan Abdul Hamid Halim Shah
BondaTunku Nai Sofiah binti Tunku Nai Haji Hassan
AgamaIslam

Sultan Sir Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah KCMG KBE (Jawi: سلطان سر بدلي شاه ابن المرحوم سلطان عبد الحميد حليم شاه; 17 Mac 1894 - 13 Julai 1958) ialah Sultan Kedah yang ke-27. Baginda memerintah Kedah dari tahun 1943 hingga 1958. Baginda menaiki takhta setelah kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Pertabalan baginda sebagai Sultan dipersetujui oleh pihak berkuasa tentera Jepun yang ketika itu sedang menduduki Tanah Melayu. Namun, kuasa pentadbiran baginda menjadi terhad apabila Jepun menyerahkan Kedah kepada pentadbiran Thailand beberapa bulan berikutnya. Kuasa pemerintahan baginda kemudiannya dikembalikan pada 1945 setelah penyerahan kalah Jepun.[1]

Kehidupan peribadi

[sunting | sunting sumber]

Sultan Badlishah diputerakan pada 17 Mac 1894 di Alor Setar, Kedah. Baginda ialah putera kedua kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-26 dengan Tunku Nai Sofiah binti Tunku Nai Haji Hassan. Baginda juga merupakan kekanda kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama. Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jalan Bahru, Alor Setar. Baginda kemudiannya melanjutkan pendidikan di King's College, Bangkok pada tahun 1912. Pada tahun 1916 hingga 1921, baginda telah melanjutkan pelajaran di Kolej Wadham, Universiti Oxford.[2]

Pada 7 Mac 1935, baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Muda, menjadikan baginda pewaris takhta utama Kedah. Pada tahun 1937, baginda telah dilantik sebagai pemangku Sultan kerana ayahanda baginda ditimpa kegeringan.

Keturunan

[sunting | sunting sumber]

Sultan Badlishah telah berkahwin sebanyak dua kali. Baginda telah berkahwin buat kali pertama dengan sepupu baginda, Tunku Sofiah binti Tunku Mahmud pada tahun 1924. Tunku Sofiah mangkat pada 1934 akibat kemalangan jalanraya.

Perkahwinan baginda dengan Tunku Sofiah telah melahirkan beberapa orang anakanda, iaitu;

  • Tunku Abdul Hamid (20 Ogos 1925, mangkat waktu kecil)
  • Tunku Hamidah (22 September 1926 – 4 November 2015)
  • Tuanku Abdul Halim (28 November 1927 – 11 September 2017), Sultan Kedah ke-28
  • Tunku Abdul Malik (24 September 1929 – 29 November 2015), Raja Muda dari 1981 hingga 2015
  • Tunku Sakinah (11 November 1930 – 16 Ogos 2025)
  • Tunku Mansur (29 Disember 1932 – 18 Ogos 1934)

Sultan Badlishah berkahwin untuk kali kedua pada 1935 dengan Tengku Asma, puteri Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dari Terengganu. Tengku Asma telah ditabal sebagai Sultanah Kedah yang pertama dan melahirkan beberapa orang anak;

  • Tunku Hosna (25 Januari 1938)
  • Tunku Annuar (30 Jun 1939 – 23 Mei 2014), Tunku Bendahara Kedah dari 1981 hingga 2014
  • Tuanku Sallehuddin (30 April 1942), Sultan Kedah ke-29
  • Tunku Bisharah (18 Oktober 1943)
  • Tunku Badriatul Jamal (1 September 1947)
  • Tunku Kamaliah (6 Jun 1949)
  • Tunku Abdul Hamid Thani (18 Jun 1951), Tunku Bendahara Kedah dari 2017 hingga kini.
  • Tunku Nafisah (20 Jun 1954)

Pentadbiran

[sunting | sunting sumber]

Sultan Badlishah ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-27 pada 14 Mei 1943 setelah kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Pertabalan baginda dipersetujui oleh pihak berkuasa Tentera Jepun yang sedang menduduki Tanah Melayu pada ketika itu. Namun pada Ogos 1943, Jepun telah mengecualikan baginda dari kesemua hal ehwal pentadbiran Kedah. Baginda kemudiannya ditempatkan di bawah Gabenor Siam setelah Kedah diserahkan Jepun kepada Thailand pada Oktober 1943. Pada September 1945, British telah mengembalikan semula dan mengiktiraf kuasa pemerintahan baginda setelah kekalahan Jepun.

Baginda menjalankan pemerintahan Kedah dengan sangat tegas.[3] Pada Disember 1945, Harold MacMichael, pegawai British telah memaksa dan mengancam baginda untuk menandatangani surat pembentukan Malayan Union. Baginda telah menentang rancangan British itu kerana ia dilihat dapat mengancam hak istimewa orang Melayu dan menjejaskan hak kuasa Raja-Raja Melayu. Baginda kemudiannya mengirimkan surat bantahan ke Pejabat Tanah Jajahan di London bagi melaporkan tindakan MacMichael yang salah dan bantahan baginda. Penentangan lantang baginda ini telah memberi inspirasi kepada rakyat Kedah yang telah membuat perarakan besar-besaran di Alor Setar bagi menentang pembentukan Malayan Union. Akhirnya, hasil daripada penentangan baginda bersama rakyat Kedah, pihak British telah membubarkan Malayan Union dan membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Kemangkatan

[sunting | sunting sumber]

Pada 13 Julai 1958, Sultan Badlishah mangkat di Hospital Besar Alor Setar akibat kegagalan jantung. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar.

Gelaran dan kurniaan

[sunting | sunting sumber]
  • 10 Mac 1894 – 21 Mac 1935: Yang Amat Mulia Tunku Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah
  • 21 Mac 1935 – 5 Disember 1937: Duli Yang Teramat Mulia Tunku Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Raja Muda Kedah
  • 5 Disember 1937 – 13 Mei 1943: Duli Yang Teramat Mulia Tunku Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Pemangku Raja Kedah
  • 13 Mei 1943 – 13 Julai 1958: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah ibni al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kedah Darul Aman

Kurniaan Kedah

[sunting | sunting sumber]

Kurniaan asing

[sunting | sunting sumber]
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah, Kulim, Kedah.
  • Masjid Sultan Badlishah, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.
  • Masjid Sultan Badlishah, Labu Besar, Kulim, Kedah.
  • Jalan Sultan Badlishah, Bandaraya Alor Setar, Kedah.
  • KD Sultan Badlishah, Langkawi, Kedah.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ↑ To' Kerani Mohd Arshad, Muhammad Hassan (1968). Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (PDF). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. ↑ Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad (2019). Legasi Kesultanan Kedah. UPM Press. ISBN 9789673448746.
  3. ↑ Adil, Buyong (1980). Sejarah Kedah (PDF). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sultan Badlishah
Kerabat diraja Kedah
Tarikh keputeraan: 1894 Tarikh kemangkatan: 1958
Gelaran pemerintah
Didahului oleh
Sultan Abdul Hamid
Sultan Kedah
1943–1958
Diikuti oleh:
Sultan Abdul Halim