Wanna Ali
Wanna Ali | |
|---|---|
| Kelahiran | Nor Syazwana binti Mohd Ali 25 Disember 1997 Kuala Lumpur, Malaysia |
| Pendidikan | Ijazah Pengurusan Perniagaan |
| Pusat pendidikan | Universiti Nottingham Malaysia |
| Pekerjaan |
|
| Tahun aktif | 2012–kini |
Karya | Filemografi |
| Pasangan | Khairil Amri Khalid (k. 2025) |
| Anak-anak | 1 |
| Ibu | Dato' Normashayu Puteh |
| Saudara |
|
| Keluarga |
|
| Kerjaya muzik | |
| Genre | |
| Alat muzik | Vokal |
| Syarikat rakaman |
|
| Kegiatan berkaitan | |
Nor Syazwana Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Wanna Ali (lahir 25 Disember 1997) ialah seorang penyanyi, pelakon wanita dan peragawati Malaysia.[2] Sebagai selebriti remaja, beliau memulakan kerjaya sebagai penyanyi dan dikenali menerusi single "Lepaskan" pada 2012. Beliau memulakan kerjaya lakonannya sebagai watak pembantu menerusi filem Aku Ada, Kau Ada??? pada tahun yang sama.
Beliau kemudiannya membintangi filem aksi jenayah Tokan pada 2013. Setelah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia pada 2014, beliau tampil dengan single "Tak Mengapa" duet bersama Juzzthin pada 2015. Pada 2016, beliau membintangi filem aksi komedi sebagai watak pembantu dalam Bo-Peng sebagai dirinya sendiri. Pada 2017, beliau membintangi siri televisyen buat pertama kalinya dan tampil sebagai watak pembantu dalam Jurnal Suraya. Pada tahun-tahun seterusnya, beliau membintangi beberapa siri televisyen, antaranya Cintaku di Bumi Izmir (2018), Mawar Murni (2018), Rindu Yang Terindah (2020), Halim Halima (2020), Angkara Cinta (2020–2021), Antara Ikhlas Dan Kaca (2022), Kids Nowadays (2022), Bukan Sekadar Lafaz 1 (2023), Lelaki Melayu Terakhir (2024), Restu (2024), Bukan Sekadar Lafaz 2 (2025), Mawar Dahlia (2025) dan yang terbaru Setiaku Berdiri (2025–2026).
Filem sulungnya sebagai watak utama adalah Ada Apa Dengan Dosa (2020) yang bercorak keagamaan. Menerusi filem itu, beliau meraih Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 dalam kategori "Gandingan Serasi Filem Popular" bersama pelakon dan pendakwah Haris Ismail dan filem itu juga meraih anugerah Filem Meletop dalam Anugerah MeleTOP Era pada 2021. Pada tahun-tahun seterusnya, beliau membintangi beberapa buah filem antaranya Aku Bukan Gila (2020), filem komedi romantik Autumn in Wales (2022), filem dokumentari Juang (2022), dua filem aksi Coast Guard Malaysia: Ops Helang (2023) dan Polis EVO 3 (2023) sebagai penampilan khas serta filem drama kesukanan Harimau Malaya: The Untold Journey (2024).
Kehidupan awal dan pendidikan
[sunting | sunting sumber]Nor Syazwana Mohd Ali dilahirkan pada 25 Disember 1997 di Kuala Lumpur serta merupakan anak kedua daripada empat bersaudara. Bapanya, Mohd Ali dan ibunya, Dato' Normashayu Puteh[3][4][5] yang merupakan seorang penerbit filem dan drama telah bercerai pada usia yang muda. Beliau bersama abangnya, Sufian Mohd Ali dan dua adiknya, Syazwani Mohd Ali dan Alif Mohd Ali dibesarkan oleh ibunya secara seorang diri saat mereka masih kecil.
Pada tahun 2010, beliau mendapat pendidikan di sebuah sekolah menengah swasta di Sekolah Sri KDU di Kota Damansara, Petaling Jaya setelah menamatkan pendidikan di sekolah rendah. Memandangkan beliau mula bergiat aktif dalam industri sejak remaja, beliau pernah memperlahankan kerjaya seninya selama setahun kerana mahu menumpukan pelajaran demi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2014.[6] Setelah menamatkan persekolahan peringkat menengah pada 2015, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham Malaysia di Semenyih, Selangor dalam jurusan Ijazah Pengurusan Perniagaan di bawah fakulti Seni dan Sains Kemanusiaan selama empat tahun.
Kerjaya
[sunting | sunting sumber]Awal kerjaya
[sunting | sunting sumber]Seawal usia 15 tahun, Wanna Ali memulakan kerjaya seninya pada tahun 2012 sebagai seorang penyanyi sewaktu masih bersekolah. Pada awalnya, beliau tidak mempunyai perancangan yang besar dalam bidang nyanyian dan hanya sekadar untuk mencuba-cuba serta mencari wang saku sampingan. Menyedari akan bakatnya itu, beliau mendapat sokongan yang kuat daripada ibunya dalam nyanyian. Beliau yang di bawah syarikat produksi milik ibunya, Pencil Pictures & Records bekerjasama dengan komposer dan penyanyi, Ajai yang juga merupakan mentornya mula merakamkan single hit sulungnya, "Lepaskan". Lagu ini diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Tidak terhenti di situ, pada tahun yang sama juga beliau membuat penampilan sulung dalam layar perak dengan membintangi filem komedi romantik muzikal, Aku Ada, Kau Ada??? yang juga diterbitkan oleh Pencil Pictures & Records. Selain di Malaysia, filem itu telah menjalankan penggambaran di Seoul dan Pulau Jeju, Korea Selatan yang mana dianggarkan hampir 90 peratus daripada keseluruhan filem itu dirakam di lokasi-lokasi menarik sekitar negara tersebut. Memandangkan beliau masih sangat baharu dalam industri seni lakonan, Rahila Ali selaku pengarah meletakkan beliau sebagai watak pembantu yang bernama Wanna sebagai pendedahan awal dan memperkenalkan diri. Selain membintangi filem tersebut, beliau turut terlibat dalam menyanyikan salah satu lagu runut bunyi (OST) yang berjudul "Baby Crazy" duet bersama pelakon utama filem itu, Shaheizy Sam. Lagu itu ditulis oleh Sheikh Qalam dan Hudson.
Pada 2013, beliau tampil dengan single terbaru yang berjudul "Stop Kamu!". Single itu ditulis oleh Ajai dan juga diterbitkan sepenuhnya oleh Pencil Pictures & Records dan edaran oleh Universal Music Malaysia. Pada 26 Disember 2013, beliau muncul dengan filem aksi jenayah, Tokan arahan dan lakon layar oleh Ghaz Abu Bakar serta diterbitkan oleh Pencil Pictures dan diedarkan oleh Metrowealth Pictures. Filem itu mengisahkan tentang konflik dan perebutan kuasa dalam sindiket pengedaran dadah selepas kematian mengejut ketua besar sindiket. Filem itu turut dibintangi oleh Zizan Razak, Johan As'ari, Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su, Liyana Jasmay dan Soffi Jikan[7].
Pada 2015, beliau merilis single "Tak Mengapa" duet bersama penyanyi rap Juzzthin yang ditulis oleh Adeep Nahar dan DJ Fuzz di bawah label Life Records. Beliau juga berduet bersama kugiran Adista dari Indonesia menerusi single "Ditinggal Lagi". Muzik videonya dirilis pada 11 Mac 2015.
Pada 2016, beliau menggalas watak pembantu sebagai dirinya sendiri dalam filem aksi komedi Bo-Peng yang dibintangi oleh Nabil Ahmad dan Johan As'ari. Pada tahun yang sama juga beliau merilis single "Jika Kau Benar" ciptaan Ajai pada Oktober. Pada 2017, beliau tampil dalam sebuah drama bersiri televisyen buat pertama kali dalam Jurnal Suraya di TV3 dan menggalas watak pembantu sebagai Fina. Beliau juga membintangi telefilem pertamanya dalam Papa Sayang dan memegang watak sebagai Raisha. Telefilem itu disiarkan di Hypp Sensasi.
Pada 2018, beliau tampil dalam siri televisyen Cintaku di Bumi Izmir sebagai Juliana. Beliau menjalani penggambaran di Turki bersama para pelakon utama, Hefny Sahad dan Raysha Rizrose dan siri itu mula ditayangkan pada 27 Ogos di Hypp Sensasi.[8] Seterusnya, beliau memerankan watak sebagai Keisya dalam siri televisyen Mawar Murni yang disiarkan di Slot Samarinda yang disiarkan pada Oktober–November 2018.[9]
Pada tahun 2019, Wanna muncul dalam drama bersiri kepolisan Malaysia Gerak Khas musim ke-19 di TV2. Beliau tampil dalam episod "Kilau Kota" sebagai Nora dan "Jerat Anita" sebagai Anita. Beliau juga membintangi tiga buah telefilem menerusi Slot Cerekarama TV3, antaranya drama bersempena Drama Festival Kuala Lumpur 2019 iaitu Telapak Waktu[10], telefilem seram komedi Misteri Akil Balik[11] dan telefilem mengenai penghidap disleksia, Silang.
2020
[sunting | sunting sumber]Wanna tampil dalam filem bercorak keagamaan, Ada Apa Dengan Dosa yang diarahkan oleh Rahila Ali di bawah produksi Pencil Pictures & Records dan dibintangi bersama Haris Ismail, Ashraf Muslim, Fauziah Nawi, Fasha Sandha dan Adam Corrie Lee. Ini merupakan filem pertama beliau yang mana beliau memerankan watak utama untuk pertama kalinya dalam filem. Beliau memegang watak sebagai Aurora, iaitu seorang anak perempuan yang tidak sah taraf ingin mencari sinar kehidupan Islam setelah mengetahui asal-usulnya yang sebenar. Menurut pendedahan Rahila selaku pengarah, filem itu telah diilhamkan daripada sebuah kisah benar, namun menafikan dakwaan bahawa beliau memplagiat idea asal orang lain.[12] Wanna turut berkongsi cerita sewaktu bersama dengan beberapa pelakon lain mengikuti sesi atau kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar mengatakan bahawa beliau mengakui dirinya sukar untuk melakonkan adegan menangis.[13] Filem itu pada asalnya dijadualkan untuk ditayangkan pada 24 September 2020, namun ditayangkan lebih awal di Astro First pada 4 Jun 2020 ekoran penutupan pawagam di seluruh negara akibat pandemik COVID-19. Setelah beberapa hari filem ditayangkan, Wanna dan ibunya meluahkan rasa kecewa apabila Ada Apa Dengan Dosa diketahui telah dicetak rompak dan dijual secara tidak sah di sebuah laman e-dagang dan mereka memulakan tindakan undang-undang terhadap laman e-dagang tersebut.[14][15]
Seterusnya, beliau membintangi siri televisyen 28 episod Seindah Tujuh Warna Pelangi yang disiarkan di Slot Akasia memerankan watak sebagai Zara dan Rindu Yang Terindah di Slot Samarinda sebagai Amy. Beliau memegang watak kecil bagi kedua-dua drama tersebut. Pada Julai 2020, beliau tampil dalam telemovie di Radio Televisyen Malaysia (RTM) saluran TV1 berjudul Baju Merah Jambu bersama pasangan pelakon Fauzi Nawawi dan Lisdawati.
Wanna memerankan watak sebagai Halima dalam drama romantik komedi Halim Halima gandingan bersama Azrel Ismail yang memerankan watak Halim. Watak Halima digambarkan sebagai wanita yang tomboi, lasak, berani dan kasar. Drama ini mula ditayangkan pada bulan Oktober.
Wanna membintangi drama bersiri Angkara Cinta terbitan syarikat produksi Juita Viden yang disiarkan di Astro Prima bersama Hun Haqeem, Meerqeen dan Yuna Rahim.[16] Siri itu diadaptasi daripada drama asal telenovela Filipina 2009, Tayong Dalawa (The Two of Us) ke format kisah Melayu. Beliau memerankan watak sebagai Adira, seorang wanita yang lemah lembut dan bertutur kata sopan yang menghadapi konflik dan dilema percintaan. Berikutan sambutan hangat dan maklum balas positif diterima daripada penonton, siri tersebut pada asalnya memiliki 70 episod lalu disambung lagi sebanyak 45 episod baharu dan menjadikan ia sebanyak 115 episod.[17]
Bermula Oktober 2020 hingga September 2023, Wanna menjadi tetamu undangan dalam sitkom komedi yang diterajui oleh kumpulan pelawak Sepahtu dalam Sepahtu Reunion Live bagi tahun 2020 (episod "Kau Lupa Janji"), 2022 (episod "Kasih Takkan Berubah") dan 2023 (episod "Pahit Akan Manis Akhirnya"). Untuk siri tahun 2021 khas bulan Ramadan, beliau tampil dalam Sepahtu Reunion Al-Puasa episod "Harapan Syawal".
2021
[sunting | sunting sumber]Pada 2021, Wanna tampil dalam drama Melastik Ke Hatimu (musim 1) dan menggalas watak pembantu sebagai Natasya[18] yang disiarkan bermula 21 Januari hingga 11 Februari. Wanna juga buat pertama kali mengasah bakat dalam bidang pengacaraan menerusi rancangan bual bicara berkonsepkan hiburan santai, Alamak bersama Zul Huzaimy dan Atu Zero di Awesome TV. Selain para selebriti, rancangan itu turut mengundang tetamu VVIP seperti ahli politik untuk mengupas sisi santai mereka yang jarang sekali dipaparkan kepada umum. Rancangan itu juga berkonsepkan wayang kulit dan temu bual yang turut diselitkan sketsa komedi spontan dan nyanyian.[19]
Beliau tercalon sebanyak empat kali berturut-turut dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34. Beliau tercalon menerusi "Pelakon Filem Wanita Popular" dan "Pelakon TV Wanita Popular" untuk kategori utama. Manakala untuk kategori dalam talian, beliau menerima dan memenangi anugerah "Gandingan Serasi Filem Popular" bersama Haris Ismail menerusi karya Ada Apa Dengan Dosa[20] dan turut tercalon dalam "Gandingan Serasi Drama Popular" bersama Hun Haqem menerusi karya Angkara Cinta.
2022
[sunting | sunting sumber]Pada 2022, Wanna membintangi dua drama bersiri, antaranya Antara Ikhlas Dan Kaca memegang watak utama sebagai Madina bersama Luqman Hafidz dan drama 28 episod Di Sebalik Dia memerankan watak sebagai seorang doktor pakar psikiatri bernama Rayna. Seterusnya, beliau tampil dalam dua telemovie dan menggalas peranan sebagai Zara dalam Mempelai Panda bersama Zalif Sidek dan sebagai Farah dalam Pilih Aku Atau Dia gandingan bersama Nora Danish. Di samping itu, beliau membintangi sebagai Marissa dalam filem komedi romantik, Autumn in Wales[21]. Beliau juga turut menyanyikan single "Pandu Lalu" untuk runut bunyi rasmi filem itu. Wanna juga tampil dalam filem dokumentari, Juang sebagai Zara, iaitu isteri kepada Dr. Johan lakonan Zul Ariffin. Filem itu diarahkan oleh lima pengarah seperti Aziz M. Osman, Dato' Yusry Abdul Halim, Matt Lai, Kabir Bhatia dan Osman Ali. Filem tersebut merupakan satu penghormatan (tribute) kepada para petugas barisan hadapan dan rakyat Malaysia dalam mengharungi pandemik COVID-19 di Malaysia dan perintah kawalan pergerakan pada 2020 hingga 2021.[22][23]
2023
[sunting | sunting sumber]Dalam filem aksi maritim Coast Guard Malaysia: Ops Helang, beliau tampil sebagai watak pembantu bernama Nadia, iaitu rakan kepada Nurul Lestari lakonan Jaja Iliyes. Ia mula ditayangkan pada 2 Februari 2023. Ia merupakan filem pertama dan terakhir arahan Pitt Hanif sebelum meninggal dunia akibat lemas pada Oktober 2019.[24] Dalam francais filem aksi kepolisan Polis EVO 3, beliau menjadi pelakon undangan dan memerankan watak Khadijah Kassim. Wataknya hanya muncul di babak penghujung filem, iaitu saat bernikah dengan Inspektor Sani lakonan Zizan Razak. Filem itu mula ditayangkan pada 25 Mei 2023.
Wanna tampil dalam siri drama televisyen Kampung Mat Saleh di Slot Sakura sebagai Bedah di TV3 yang disiarkan pada Mei hingga Jun.[25] Seterusnya, beliau membintangi dua telemovie, iaitu Hantu Musang King di TV2 sebagai Normala dan 90 Hari Sebelum Cinta Pergi sebagai Zana yang bersiaran di TVS.
Wanna dan Alif Satar bergandingan dalam drama bersiri 20 episod Bukan Sekadar Lafaz untuk musim pertama di Slot Akasia. Ia diadaptasi daripada sebuah novel tahun 2017, Bukan Sekadar Lafaz nukilan Sophilea.[26] Beliau memerankan watak sebagai Asyikin Zaman, seorang pelatih di sebuah kafe terkenal dan anak kepada Tuan Zaman (lakonan Ahmad Idham). Beliau turut menyanyikan runut bunyi drama tersebut dengan judul sama bersama bapa tirinya yang juga penyanyi, Aiman Ismail. Lagu itu ditulis sepenuhnya oleh ibunya.[27][28]
Pada Oktober 2023, Wanna telah dilantik sebagai duta jenama produk kecantikan dan penjagaan kulit Millefleur. Pihak Millefleur mengatakan bahawa mereka kagum dengan disiplin Wanna yang konsisten dengan produk mereka sebelum dipilih menjadi duta.[29] Sebelum itu, Wanna tidak menafikan yang beliau berasa skeptikal terhadap produk kecantikan tempatan dan situasi tersebut nyata berubah setelah beliau mengaplikasikan produk tersebut selama sebulan.[30]
2024
[sunting | sunting sumber]Pada 2024, beliau tampil dalam drama 26 episod Lelaki Melayu Terakhir di Slot Samarinda dan bergandingan bersama Fattah Amin. Beliau memerankan watak sebagai Syarifah Kasih yang digambarkan sebagai seorang wanita muda yang moden, berdikari, dan hidup mengikut acuannya sendiri. Beliau juga membintangi filem drama kesukanan Harimau Malaya: The Untold Journey sebagai watak pembantu bernama Najwa. Filem itu merupakan sebuah naskhah mengenai skuad pasukan bola sepak Harimau Malaya dari Pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia. Ia diarahkan oleh pelakon dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki. Wanna juga membintangi sebuah drama web pertamanya, Restu arahan Heykal Hanifah yang mula disiarkan di platform penstriman iQIYI.[31]
2025
[sunting | sunting sumber]Pada 2025, Wanna kembali membawakan watak Asyikin Zaman untuk musim kedua drama Bukan Sekadar Lafaz. Untuk musim kedua ini, beliau mengakui ia merupakan cabaran terbesar demi menjayakan watak Asyikin untuk musim tersebut.[32] Seterusnya, beliau membintangi drama web bersiri 12 episod, Mawar Dahlia bersama Zac Zacky dan Haidar Hasanudin serta menampilkan abangnya, Fian Ali yang turut membintangi drama itu. Beliau memainkan dua watak, iaitu Mawar dan Dahlia yang merupakan pasangan kembar yang terpisah sejak kecil akibat bapa mereka terlibat dalam dunia gelap. Siri itu disiarkan di platform iQIYI bermula 30 Mei.[33]
Beliau memerankan watak utama sebagai Zulaikha dalam drama 40 episod Setiaku Berdiri yang bersiaran di Astro Prima pada 15 Disember 2025 hingga 6 Februari 2026. Watak Zulaikha yang diperankannya merupakan seorang gadis kampung yang bernasib malang dan memaksanya bermain air mata dan emosi dengan kerap. Beliau turut mengakui bahawa sewaktu berada di set penggambaran, beliau banyak bersendiri dan mendiamkan diri dari siang hingga ke malam untuk menyerap dan mendalami watak Zulaikha.[34]
Kehidupan peribadi
[sunting | sunting sumber]Wanna pernah menjalin hubungan dengan seorang ahli perniagaan yang dirahsiakan namanya dan merancang untuk bertunang pada Disember 2023, namun mereka berpisah pada pertengahan tahun kerana tiada persefahaman.[35][36]
Pada 9 November 2024, setelah setahun tempoh perkenalan, Wanna mengikat tali pertunangan bersama pilihan hatinya, Khairil Amri Khalid yang merupakan anak lelaki kepada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar selama tiga bulan. Namun, beliau merahsiakan akan tarikh pernikahannya itu.[37] Pada 9 Februari 2025, mereka selamat melangsungkan pernikahan di sebuah premis acara di Petaling Jaya, Selangor. Pasangan ini diijabkabulkan pada jam 10:40 pagi dengan mas kahwin 10 dinar emas dan sebentuk cincin. Pada masa yang sama, Wanna turut mengumumkan akan tarikh pertunangannya yang dirahsiakan sebelum ini. Pada 14 April 2026, Wanna selamat menimang cahaya mata sulung lelaki seberat 3.7 kilogram secara pembedahan pada waktu subuh di suatu pusat perubatan.[38]
Filemografi
[sunting | sunting sumber]Diskografi
[sunting | sunting sumber]Single
[sunting | sunting sumber]| Lagu | Label | Tahun |
|---|---|---|
| "Lepaskan" |
|
2012 |
| "Baby Crazy" (duet bersama Shaheizy Sam) | ||
| "Stop Kamu" | 2013 | |
| "Tak Mengapa" (duet bersama Juzzthin) |
|
2015 |
| "Ditinggal Lagi" (duet bersama Adista) | PT. Media Musik Proaktif | |
| "Jika Kau Benar" | Pencil Picture & Records | 2016 |
| "Pandu Lalu" |
|
2022 |
| "Bukan Sekadar Lafaz" (duet bersama Aiman Ismail) |
|
2023 |
Anugerah dan pencalonan
[sunting | sunting sumber]| Tahun | Anugerah | Kategori | Pencalonan | Keputusan | Ruj. |
|---|---|---|---|---|---|
| 2021 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 | Gandingan Serasi Filem Popular (bersama Haris Ismail) | Ada Apa Dengan Dosa | Menang | [20] |
| Pelakon Filem Wanita Popular | Dirinya sendiri | Tercalon | |||
| Pelakon TV Wanita Popular | Tercalon | ||||
| Gandingan Serasi Drama Popular (bersama Hun Haqeem) | Angkara Cinta | Tercalon | |||
| 2024 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 | Aktres Pembantu Filem Popular | Dirinya sendiri | Tercalon | |
| Aktres TV Popular | Tercalon | ||||
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ↑ "Wanna Ali Sedar Hala Tuju". Kosmo. Dicapai pada 12 Ogos 2026.
- ↑ Zaidi Mohamad (11 Julai 2019). Gosip cinta bukan untuk tutup aib - Wanna Ali Berita Harian. Dicapai pada 11 Julai 2019.
- ↑ Azizul Rahman Ismail (29 Jun 2020). Being a star is hard work The Sun Daily. Dicapai pada 17 September 2020.
- ↑ Amirah Amaly Syafaat (10 Mei 2015). "Cantik berilmu itu perlu - Wanna Ali". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-05-05. Dicapai pada 22 Januari 2016.
- ↑ Amirah Amaly Syafaat (21 Jun 2015). "Pengaruh dan inspirasi ibu". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-08-02. Dicapai pada 23 Januari 2016.
- ↑ Wanna Ali "Hilang" Kerana Tumpu Pada SPM. mStar. Dicapai pada 17 Februari 2015.
- ↑ Tokan (2013) IMDb. Dicapai pada 13 Ogos 2026.
- ↑ Cintaku Di Bumi Izmir. Myinfotaip. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
- ↑ Mawar Murni Series. Tonton. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
- ↑ Telemovie Telapak Waktu. Myinfotaip. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
- ↑ Telemovie Misteri Akil Balik. Tonton. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
- ↑ Ashraf Nasser (24 Jun 2020). ""Ada Apa Dengan Dosa" is inspired by true story" ["Ada Apa Dengan Dosa" diinspirasikan oleh kisah benar] (dalam bahasa Inggeris). Yahoo! News. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-06-26. Dicapai pada 17 September 2020.
- ↑ Semua orang ada 'journey' masing-masing. SinarPlus. Dicapai pada 13 Ogos 2026.
- ↑ Kecewa karya dirompak. Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2026.
- ↑ Nadia Azam (7 Ogos 2020) Wanna Ali tetap perjuangkan hak walau suaranya kecil. MalaysiaKini. Dicapai pada 23 Ogos 2026.
- ↑ Angkara Cinta lakonan Wanna Ali, Hun Haqeem, Meerqeen. Budiey. Dicapai pada 13 Ogos 2026.
- ↑ Angkara Cinta disambung 45 Episod Lagi. SinarPlus. Dicapai pada 20 Ogos 2026.
- ↑ Melastik Ke Hatimu. Tonton. Dicapai pada 30 Ogos 2026.
- ↑ Alamak Kupas Sisi Santai Ahli Politik Negara. mStar. Dicapai pada 23 Ogos 2026.
- 1 2 Senarai Nama Pemenang ABPBH 2021. Myinfotaip. Dicapai pada 30 Ogos 2026.
- ↑ Autumn in Wales (2022). IMDb. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
- ↑ Frontliner Dirai menerusi Tayangan Perdana Filem Juang. Astro Awani. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
- ↑ Siti Athirah Dzulkifly (22 Ogos 2022) Juang Melawan Peperangan Tak Terlihat. Utusan Malaysia. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
- ↑ Coast Guard Malaysia: Ops Helang Sentuhan Terakhir Pitt Hanif. mStar. Dicapai pada 14 Ogos 2026.
- ↑ Kampung Mat Saleh Series. Tonton. Dicapai pada 26 Ogos 2026.
- ↑ Lakon Watak Lelaki 'Sweet' Dalam Bukan Sekadar Lafaz. Harian Metro. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
- ↑ Siti Athirah Dzulkifly (17 Oktober 2023) Wanna Ali Profesional Duet Dengan Bapa Tiri, Aiman Ismail Menerusi Single "Bukan Sekadar Lafaz". Utusan Malaysia'. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
- ↑ Wanna Ali Duet Bersama Bapa Tiri. Scoop. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
- ↑ Millefleur Lantik Wanna Ali Jadi Duta. MalaysiaGazette. Dicapai pada 13 Ogos 2026.
- ↑ Wanna Ali Skeptikal Terhadap Produk Kecantikan Lokal. Seeni. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
- ↑ Drama Restu (iQIYI). Myinfotaip. Dicapai pada 25 Ogos 2026.
- ↑ Musim Kedua Bukan Sekadar Lafaz" Kembali Dengan Konflik Lebih Dramatik. Budiey. Dicapai pada 30 Ogos 2026.
- ↑ Drama Mawar Dahlia (2025). Myinfotaip. Dicapai pada 30 Ogos 2026.
- ↑ Norhayati Nordin (19 Disember 2025) Wanna Asyik Berendam Air Mata. Harian Metro. Dicapai pada 30 Ogos 2026.
- ↑ Nazrin Zulfakli (14 Oktober 2023). Tiada Persefahaman Punca Hubungan Terlerai. mStar. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
- ↑ Wafa Aula (4 Januari 2024). Batal Pertunangan Dengan Kekasih. Utusan Malaysia. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
- ↑ "Wanna Ali Enggan Kongsi Tarikh Nikah". Utusan Malaysia. Dicapai pada 12 Ogos 2026.
- ↑ "Wanna Selamat Timang Cahaya Mata Lelaki Sulung". Berita Harian. Dicapai pada 12 Ogos 2026.