Bila Tinta Menari

sebuah blog yang ditulis untuk mengekspresi idea yang terbuku dalam minda penulis.. memproses cetusan-cetusan yang lahir dari pelbagai sumber untuk menghasilkan satu wacana penulisan sebagai metode penulis untuk berkongsi pemikiran dan perspektif dari sudut yang berbeza.. (^,^)v

dah lama tak menulis..
entah kenapa hari ni terasa gatal jari-jari nak menekan papan kekunci komputer riba ni.
pertama dan terutamanya, alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan kepada Illahi kerana telah mengizinkan aku untuk terus bernafas melewati tahun ke dua puluh satu usai kelahiranku. Syukur kerana aku masih dikurniakan ruang dan waktu untuk terus hidup atas muka bumi-Nya yang penuh kepelbagaian ini.

lengkap usiaku dua puluh satu, aku terfikir sendiri. apa yang dah aku lakukan sepanjang aku lahir hingga saat ini? adakah dunia menjadi lebih baik setelah aku menjadi salah seorang penghuninya? atau adakah dunia menjadi lebih rosak dek wujudnya aku di atasnya? ataukah kewujudan aku tidak bermanfaat serta tidak pula merugikan dan hanya bersifat lengai semata-mata.

aku renung kembali apa yang telah aku lakukan. betapa banyaknya waktu yang telah aku bazirkan dan berapa banyak pula masa yang kuluangkan untuk kebaikan. nyata aku bukan seorang yang boleh digolongkan dalam kalangan yang bermanfaat jika itu ukurannya. aku akui banyak masa yang telah aku gunakan untuk tujuan yang tidak bermanfaat. tapi jika ditanya adakah aku menyesal? barangkali aku akan menjawab aku tidak pernah menyesal dengan masa lepas. 

mungkin akan ada yang bertanya kenapa. bagiku, penyesalan adalah satu proses yang tidak bermanfaat jika padanya akan hanya ada kekecewaan, kepiluan, remuk redamnya hati, dan kesedihan. apa guna aku menyesal kalau yang akan aku dapat hanyalah kesedihan dan sakit hati yang merencatkan perjalanan kehidupan. kemudian nanti mungkin aku akan merasa kesal kerana menyesali penyesalan. dan ini akan menjadi satu lingkaran ganas (vicious circle) yang pada akhirnya tidak berkesudahan.

namun, itu cuma retorik dan persepsi yang cuba aku timbulkan untuk mengeraskan hati sendiri. hakikatnya aku insan biasa yang tak lepas dari rasa penyesalan. hati ini sering sakit dan tertekan kerana kecewakan masa lalu. ayat-ayat seperti "andai dapatku putar semula waktu" lebih bergema dalam benakku berbanding "demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian". betapa berharapnya aku untuk kembali ke masa lampau dan memperbetul segala khilaf yang telah aku lakukan. tapi aku insaf, masa yang pergi takkan mungkin berpatah kembali.

setelah dua puluh satu tahun aku bernafas, aku mula cuba mengenali makna hidup. adakah cuma bernafas, makan, minum, tidur dan sebagainya itu bererti aku hidup? bagi aku, ada makna yang lebih mendalam bagi kehidupan. tuanya jasmani perlu seiring dengan matangnya rohani. dan matangnya rohani kerana tahu yang mana salah yang mana betul. dan untuk tahu yang mana salah dan yang mana betul, kita perlu belajar. belajar tidak hanya di kelas semata-mata. apabila kita melakukan kesilapan dan kita menyesal, ini turut bererti kita belajar. 

jadi apabila kita menyesal, kita akan belajar dan apabila kita terpelajar, kita akan tahu yang mana salah dan yang mana betul, dan apabila kita tahu menilai, kita akan menjadi matang dari segi rohaniah dan apabila rohani kita matang, bererti jiwa kita hidup.

jadi penyesalan bukanlah satu kerugian tetapi satu pengajaran untuk kita ikuti. kita boleh menyesal dek kesalahan masa lampau dengan syarat kita berubah dan membetulkan kesalahan serta kekurangan diri agar perkara yang sama tidak lagi berulang. apa guna menyesal jika kita terus mengulangi kesilapan sama? dan apa guna menyesal jika kita masih di takuk lama?

bagi diri aku sendiri, aku menyesal dengan segala kesalahan lampauku. namun, aku akan cuba tebus kesilapanku dengan berusaha lebih baik pada masa depan. akan aku cuba pastikan kewujudan aku memberi manfaat pada dunia dan tidak hanya bersifat lengai atau lebih teruk, merosakkan dunia. insyaAllah.

terima kasih atas segala ucapan. :)

berkecai hati siapa peduli,
tapi rahsia hati rahsia peribadi,
biar azab kutanggung sendiri,
dek kerna bodoh aku yang rugi.

jiwa kosong tiada teman,
aku termenung keseorangan,
terimbas setiap satu kenangan,
tumpah air mata tiada tertahan.

benci diri kian membara,
inginku lari tinggalkan dunia,
tapi teringat pesan orang tua,
ikut rasa kelak binasa.

nurani tak sanggup menanggung rindu,
sebak sayu di dalam kalbu,
tapi semua sudah berlalu,
mustahil dapat kuputar waktu.

sakit pedih kian membakar,
tangan kaki mula geletar,
daripada terus berfikiran mungkar,
lebih baik aku banyak istighfar.

dalam ingatan tak pernah lekang,
enam puluh purnama kita sepasang,
dari awal kau aku sayang,
selamanya takkan mungkin hilang.

Jumaat, 25 November 2011.

Sesungguhnya dari Dia kita datang, dan pada-Nya jualah kita kembali.

Selamat tinggal sahabat. Selamat jalan selamanya. Pemergian kau sangat membuatkan aku terkesima. Sungguh tak aku sangka salah seorang sahabat sebayaku telah pergi menghadap yang Maha Mencipta. Sungguh!

Aku ingat lagi masa kita sama-sama sekelas. Masa kita sama-sama 'stay up'. Masa kita sama-sama di surau. Masih aku ingat suara kau membaca taklim selesai solat asar setiap hari. Suara kau mengajak kami ke surau setiap kali masuk waktu. Suara kau menjadi imam solat waktu berjemaah. Terkenang aku waktu melihat kau bersukan, waktu melihat kau beratur mengambil makanan berbuka puasa isnin khamis, waktu kita sama-sama jadi penanda, berhujan berlatih kawad.

Sungguh aku ingat riak wajah kau yang kadang-kadang kebingungan tapi sentiasa dihiasi senyuman. 
Sungguh aku ingat celoteh kau yang kadang-kadang merapu tapi tidak pernah melampau. 
Sungguh aku ingat jenaka kau yang sangat skema tapi kadang-kadang lucu.

Dua tahun kita sama-sama seperjuangan, dua tahun aku lihat kau dan kau lihat aku. Tingkatan empat kita berbeza kelas tapi waktu tingkatan lima kita sekelas. Sepanjang tahun bersama kau, sungguh aku rasa kau tak pernah menyakitkan hati orang. Meski orang lain terutamanya aku kadang-kadang suka mengusik kau. Sangat-sangat aku pohon kemaafan dari kau.

Semua itu kini abadi dalam kenangan. 

Kau memang insan yang baik. Tak pernah lekang dari kerja-kerja dakwah. Sehingga kau pergi, aku dengar kau tak pernah tinggal akan kerja-kerja mengajak orang ke jalan Tuhan. Sungguh aku kagum dengan keazaman kau yang tak pernah putus dalam mencari redha Ilahi.

Ada kata-kata yang menyebut; apabila kita lahir, kita menangis orang lain tersenyum. tapi apabila kita mati, biarlah kita tersenyum dan orang lain menangis. Jujur aku katakan aku menangis dengan pemergian kau. Biar apa orang kata. Aku sangat terasa dengan pemergian kau.

Semoga kau berada dalam naungan rahmat-Nya dan ditempatkan bersama golongan yang memperoleh syurga-Nya.

Kamalhadi Bin Rosli.

Al-Fatihah.


Salam.

Selalu kita dengar dari segala macam sumber yang menyatakan bahawa merokok membahayakan kesihatan. Tapi yang tak pernah kita dengar ialah faedah terapeutik amalan merokok. Sekali-sekala kita perlu juga kurang ortodoks dalam proses menimba ilmu. Kita perlu mempersoalkan dan memandang dari seluruh perspektif yang ada untuk betul-betul memahami sesuatu benda yang kita cuba ketahui. Jadi dalam sesi pembacaan ini mari kita sama-sama melihat dari aspek yang sedikit berbeza daripada yang sering diketengahkan berkaitan amalan merokok.


Sepanjang semester tiga pengajian, saya diajar mengenai kecergasan sistem kardiorespiratori (jantung dan pernafasan) manusia. Dalam modul ini, saya disuapkan dengan segala macam keburukan merokok seperti kesan buruk radikal-radikal bebas (free radicals) yang ada dalam asap rokok kepada paru-paru dan bermacam lagi kesan negatif merokok kepada manusia melalui sesi-sesi kuliah dan pengajaran yang diadakan. Konsensus yang dapat saya capai pada ketika itu ialah: Merokok Tidak Ada Faedah malah Mendatangkan Mudarat. Namun, setelah masuk semester empat, selepas segmen PBL kedua bagi kes kedua, salah seorang sahabat saya memberitahu bahawa doktor yang mengajar kelas beliau menyatakan merokok boleh mengelakkan penyakit Parkinson!

Hoah!

Satu pernyataan yang amat menggegarkan asas pengetahuan saya! Hal ini kerana bagi saya, merokok adalah seratus peratus tidak berfaedah dan pernyataan doktor terbabit telah menggoyahkan fakta dan doktrin yang telah ditanam dalam otak saya sejak kecil. Rupa-rupanya ada kebaikan dalam keburukan amalan merokok. Kesedaran ini sedikit sebanyak membuatkan saya ingin menyelidik dengan lebih mendalam mengenai sejauh mana kebenaran kenyataan doktor tersebut. Sama ada kenyataan tersebut betul-betul bersandarkan fakta saintifik atau hanya sekadar lawak riuh pagi di era bersama aznil, ray dan haniff semata-mata.

Hasil pencarian saya mendapati apa yang dikatakan oleh doktor berkenaan ada kebenarannya. Silalah ‘google’ kata kunci “smoking and Parkinson” dan lihat serta teliti sendiri hasil carian terbabit. Saya ingin petik konklusi satu kertas kerja reviu "Cigarette Smoking and Parkinson's Disease" yang ditulis oleh Leah R. Miller dan Salil K. Das dari Division of Cancer Biology, Department of Biomedical Sciences, Meharry Medical College, Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa: “A review of a portion of the existing literature revealed that there is a definite link between cigarette smoking and PD. Secondly, there is a negative association between smoking and PD. Furthermore, direct animal studies predict a possible protective effect of smoking on the development of PD and parkinsonian symptoms, but the mechanism by which this occurs is un-clear. Therefore the mechanism by which smoking may impart a neuroprotective effect remains to be elucidated in an animal model. Determining the underlining mechanism by which smoke imparts its effects may aid in defining the etiology and pathogenesis of PD. Furthermore, it may be utilized in the development of targeted drug therapies for PD.”. (sila terjemahkan sendiri jika tak faham)

Menarik bukan?

Satu lagi contoh yang ingin saya kongsikan ialah kaitan rokok dengan ketidaksuburan lelaki. Bagi isu ketidaksuburan lelaki, satu kajian ke atas 97 orang lelaki yang dijalankan oleh Sergerie M, Ouhilal S, Bissonnette F, Brodeur J, dan Bleau G dari Andrology Laboratory, Centre hospitalier de l'Université de Montréal (CHUM) - Hôpital Saint-Luc, Québec, Kanada mendapati bahawa kurangnya kaitan antara tabiat merokok dengan kandungan serpihan DNA dalam spermatozoa lelaki normal. Jumlah serpihan DNA dalam sperma secara relatifnya dapat dikaitkan dengan ketidaksuburan. Satu kajian berasingan mendapati semakin banyak kandungan serpihan DNA dalam sperma, semakin kurang subur seseorang lelaki tersebut. Kajian Sergerie M, Ouhilal S, Bissonnette F, Brodeur J, dan Bleau G tadi pula mendapati peratusan kandungan serpihan DNA dalam kumpulan kajian mereka adalah seperti berikut: perokok tegar (12.11%), perokok tak tegar (11.66%) dan bukan perokok (20.41%). “In summary, our results indicate no association between smoking and DNA fragmentation in the spermatozoa of healthy men.”

Kertas kerja oleh Warburton D.M. dan Wesnes K dari Department of Psychology, University of Reading England yang bertajuk “The Effects of Cigarette Smoking on Human Information Processing and the role of Nicotine in These Effects " pula mendapati:

  • Smoking improves human information processing. Higher nicotine cigarettes produce greater improvements [in information processing] than low-nicotine cigarettes.
  • Nicotine tablets produce similar effects.
  • Nicotine can reverse the detrimental effects of scopolamine on performance
  • Smoking effects are accompanied by increases in EEG arousal and decreases in the latency of the late positive component of the evoked potential.

Fakta-fakta sebegini sememangnya bercanggah dengan persepsi masyarakat moden kini yang beranggapan bahawa rokok adalah tidak berguna secara total. Namun dari aspek saintifik, hasil kajian terkawal sebegini ialah bukti saintifik yang perlu diterima. Jadi kita tidak boleh menolak secara total kebaikan merokok meskipun cuma sedikit.

Tetapi (!) ini bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan alasan untuk menggalakkan tabiat merokok kerana tabiat merokok sememangnya umum klasifikasikan sebagai tabiat yang tidak baik. Apa-apa pun, segalanya terpulang kepada individu kerana ironinya, penilaian dan justifikasi peribadilah yang menentukan tindak-tanduk masing-masing. Sebagai penutup, bangsa membaca bangsa berjaya! Haha!

Bacaan lanjut:
Review merokok n parkinson
Laman pro-perokok (menarik~!!)
Kertas kerja fertility n smoking

{lama gila tak menulis.. malas punye pasal.. heee.. :P }

Salam.

Huhu. Lama gila tak menulis. Sejak post terakhir hari tu, dah dekat berapa bulan dah blog ni tak di’update’. Blogger dashboard ni pun aku tak buka, inikan pulak nak update blog. huhu.. Tapi disebabkan aku dah rajin nak menulis, jadi aku pun tekan la butang-butang pada papan kekunci laptop kesayangan aku ni untuk menghasilkan penulisan yang bajet good ni.

Seiringan dengan pemilihan/pengundian pengerusi dan ahli jawatankuasa tertinggi Perubatan Cawangan Mansoura (PCM) yang bakal diadakan Jumaat ini (26 November 2010) InsyaAllah, molek rasanya untuk aku menulis serba sedikit mengenai apa yang dapat aku lihat dan rasa mengenai pemilihan ini. Selaku mata yang memerhati dari pihak berkecuali(tidak memihak), banyak yang dapat aku saksikan sepanjang bermula hari pencalonan sehinggalah tempoh yang diberikan untuk berkempen. Pelbagai lagak dan ragam yang diketengahkan oleh calon serta penyokong yang dapat aku simpulkan sebagai warna-warni dalam proses mencorak lembaran memilih kepimpinan. Kematangan kita selaku mahasiswa/wi dalam menerima, menapis dan menilai sebarang hujah serta manifesto calon turut diperlihat dalam tempoh ini.

Sebagai pembuka bicara, lazim bagi setiap pemilihan tidak kiralah sebesar atau sekecil mana sekalipun untuk mempunyai calon. Tidak kiralah seorang atau dua orang atau lima orang. Dah nama pun pemilihan, tentunya ada yang perlu kita pilih. Justeru, kita harus tahu dari aspek dan sudut manakah seseorang itu berbaloi untuk kita pilih? Sengaja aku gunakan frasa berbaloi kerana jika aku gunakan harus atau perlu, bunyinya seperti aku berpihak dan ingin menanamkan satu ‘mind set’ dalam minda pembaca. Harus difahami bahawa tulisan ini bersifat neutral dan mendokong sepenuhnya hak demokrasi dan kebebasan memilih yang dimiliki setiap ahli persatuan (yang telah menjelaskan yuran).

Berbalik kepada isu yang ingin aku bangkitkan. Dari segi apakah seseorang itu berbaloi untuk kita undi? Adakah jika calon itu mempunyai rupa paras yang menarik, kita tanpa berfikir panjang terus memberikan undi kita kepada beliau? Atau hanya kerana kita kenal seorang calon itu dan kurang mengenali calon yang lain, terus kita undi mereka yang kita kenal sahaja? Memang tepat bahawa adalah menjadi hak bagi tiap-tiap individu untuk memilih siapapun yang ia inginkan. Tetapi ingin aku tekankan di sini keperluan untuk kita renungkan kesan jangka panjang daripada sebarang keputusan yang kita ambil.

Perlu kita pertimbangkan bahawa mereka yang kita pilih ini merupakan suara bagi kita dalam menyampaikan segala hasrat dan hajat kita kepada pihak atasan. Mereka selaku badan kepimpinan juga akan menjadi penentu hala tuju di samping menjadi acuan bagi ahli persatuan. Lantaran itu, sangat penting bagi kita untuk memilih yang terbaik untuk kepentingan semua pihak. Hal ini kerana kesilapan dalam memilih kepimpinan akan turut menimbulkan masalah bagi semua pihak. Walaupun hanya untuk satu penggal, pilihan kita sebenarnya menentukan sama ada semua pihak senang, atau semua pihak akan bermasalah dalam penggal tersebut.

Bergerak kepada perkara pertama. Kualiti apakah yang perlu ada pada calon bagi menjadikan beliau berbaloi untuk kita undi? Untuk menjawab persoalan ini, kita harus tahu ciri-ciri pemimpin yang baik. Tidak perlulah dicatatkan di sini ciri-ciri tersebut kerana aku yakin pengundi-pengundi di sini lebih arif tentang hal tersebut. Bagi yang merasa kurang arif, bolehlah melayari laman-laman web ilmiah untuk mendapatkan informasi berkenaan. Fokus utamanya di sini ialah kita perlu memilih insan yang terbaik untuk menjadi pemimpin. ‘Tidak boleh tidak’ kerana jika insan tersebut tidak mampu hatta untuk memimpin diri sendiri, bagaimana kita hendak mengharapkan beliau untuk memimpin persatuan?

Keduanya, kita perlu mengambil kira apa yang ingin dilakukan oleh calon tersebut sekiranya beliau menang. Dalam erti kata lain, manifesto calon merupakan antara perkara penting yang harus kita nilai dalam proses memilih. Manifesto boleh kita terjemahkan sebagai janji-janji (manis?) yang diberikan oleh calon sebelum pemilihan. Apa yang perlu kita nilai di sini adalah sama ada manifesto tersebut menguntungkan kita dan semua pihak atau tidak? Serta sama ada manifesto tersebut akan mampu dilaksanakan sekiranya calon terbabit menang atau tidak? Hal ini kerana sesetengah calon hanya tahu menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi namun tidak reti untuk menunaikan janji setelah dipilih (ok2.. sedikit berlebihan.. sori2.. hehe :P ).

Akhir sekali, setelah puas kita memandang pada calon, kita perlu kembali introspektif dan memandang ke dalam diri kita sendiri. Kita harus bertanya kepada diri sendiri, inikah orang yang ingin aku ikut? Inikah orang yang akan aku berikan kerjasama sepenuhnya dan patuh kepada setiap keputusannya? Serta adakah ini orang yang terbaik antara kesemua mereka yang mampu aku pilih untuk menjadi pemimpin? Jawapannya biarlah rahsia dan terletak pada diri masing-masing.

Justeru, buatlah pilihan terbaik dalam proses pengundian ini. Kita sudah tentunya menginginkan perubahan dalam persatuan. Bukannya perubahan daripada 'pure islamic' kepada 'total liberalism' atau sebagainya yang aku maksudkan. Apa yang aku maksudkan adalah perubahan positif ke arah yang lebih baik dan terbuka. Bukankah daripada ‘good’ kepada ‘better’ adalah satu perubahan?

Bagi calon, selamat bertanding aku ucapkan. Kalah menang adat pertandingan. Buat yang terbaik dan jalankan amanah sebaiknya jika terpilih. Untuk pengundi pula, terampilkan kematangan kita dalam memilih apa yang kita mahukan serta nilaikan setiap input yang kita terima {seperti manifesto dan hujah-hujah yang mereka (calon-calon dan pendokong calon) berikan} dengan skala ‘betul-salah’ dan ‘possible-impossible’ yang tepat. Akhir kata, keputusan terletak di tangan kita.
Selamat mengundi! :D

salam.

dah lama juga rasanya aku tak menulis panjang-panjang ni. alasan mudah; nak dekat exam so sibuk nak study.. haha~!! ye la tuh.. padahal duk melagho lagi banyak dari belajar. hehe..

dalam tulisan kali ni aku nak menulis pasal insan/manusia/orang/human. kalo nak disempitkan skop bolehla kalau nak dikatakan tulisan kali ni lebih banyak menjurus kepada hubungan sesama manusia dari aspek perasaan dan pandangan.

apa yang aku maksudkan dengan pandangan dalam konteks ini adalah mengenai apa yang seseorang itu fikir, rasa dan ekspresikan apabila melihat orang lain daripada sudut perspektifnya. aku teringin untuk cuba mengungkai satu persoalan dasar yang ramai antara kita lebih suka menutup sebelah mata dan memilih untuk bersikap ortodoks apabila berdepan dengannya.

persoalan sikap, personaliti dan perasaan merupakan antara entiti abstrak yang acapkali menjadi pemegang watak penting dalam sketsa kehidupan kita. persoalan-persoalan ini adalah objek tidak nyata yang berkuasa dalam menentukan bagaimanakah reaksi setiap manusia apabila menghadapi sesuatu situasi. namun persoalan ini adalah subjektif dan berbeza bagi setiap individu kerana masing-masing ada gaya tersendiri untuk bertindak balas terhadap apa jua input yang ia peroleh.

malangnya, dek ketidaksamaan inilah manusia gemar mencari titik-titik perbezaan sehingga mewujudkan jurang pemisah antara satu sama lain. dek ketidaksamaan ini juga kita gemar mencaci dan melabel mereka yang mempunyai personaliti berbeza dengan kita dengan pelbagai label yang tidak baik.

sebagai contoh mudah, apabila ada seseorang yang melakukan sesuatu yang kita rasakan tidak selari dengan norma perbuatan kita, dengan pantas kita label individu terbabit sebagai aneh, pelik dan bermacam-macam lagi gelaran. kita lebih gemar untuk 'jump into conclusion' dan membuat kesimpulan sendiri tanpa terlebih dahulu mendekati individu terbabit untuk mendalami mengapakah dia bertindak sedemikian.




kita lebih gemar untuk memulau dari membantu, mengeji dari mengajar, dan mencaci dari membimbing. kita lebih suka untuk menidakkan kewujudan orang yang tidak 'sama' dengan kita berbanding turut sama menyelam ke dunianya dan menariknya keluar dari lingkungan tersebut. senario ini terpakai untuk setiap situasi kerana kita lebih suka mengambil jalan mudah dengan memulaukan individu terbabit daripada menyusahkan diri dengan cuba membantu agar terubah personalitinya.

hakikatnya, sebagai individu yang turut wujud dan berputar dalam lingkungan sfera kehidupan insan tersebut, kita secara tidak langsung bertanggungjawab atas kebajikan dirinya. bukanlah bermaksud kita perlu menjaga makan minum atau pakaian individu tersebut. setidak-tidaknya, kita mempunyai peranan untuk menghormati haknya dan tidak melakukan perkara yang menyinggung perasaan dirinya. hal ini termasuklah mencaci, memberi gelaran dan yang sebagainya. harus kita ingat bahawa selain hak diri sendiri yang perlu kita pertahankan, kita turut dipertanggungjawabkan untuk menunaikan hak orang lain atas diri kita.

bagi individu yang merasakan dirinya terpinggir pula, cuba ambil masa dan renungkan sejenak mengenai perbuatan serta tingkah laku kita yang memungkinkan kita dianggap pelik oleh orang lain. janganlah terlampau keras kepala untuk menunjukkan kita tidak bersalah. janganlah terlampau memaksa orang lain untuk menerima kelainan diri kita. dan janganlah terus bangga dan tanpa rasa malu terus-terusan melakukan perkara yang memang kita sendiri tahu salah!

jika kita mampu berubah, tentunya keharmonian hubungan antara kita semua akan menjadi lebih indah. ruang untuk perubahan sentiasa terbuka bagi setiap individu. apa salahnya kita mengubah sedikit personaliti dan cara hidup kita untuk beradaptasi dengan orang sekeliling. introspeksi dan retrospeksi adalah aspek yang amat penting dalam kehidupan kerana dari situlah kita dapat menilai dan mengubah baik kualiti hidup kita dan hidup individu yang berada di sekeliling kita.

sebagai konklusi, setiap daripada kita tidak terkecuali untuk memainkan peranan dalam mewujudkan situasi yang lebih kondusif. jika hanya satu pihak yang mengalah dan satu pihak lagi memilih untuk bersikap superior, sampai bila pun masalah ini tidak akan selesai. justeru, perlu ada sikap saling menghormati dan toleransi dalam diri kita tidak kiralah sewaktu berhadapan dengan situasi apa sekalipun. nescaya kehidupan yang lebih damai dan harmonis akan dapat kita capai. peace~! :)

(aku tulis before exam.. tapi berenti jap sbab nak exam.. then da abis exam ni baru setelkan.. heee :D )

huhu..
salam..

mansoura dah semakin panas..
nak tido pon tak boleh coz bpeluh2..
nak mnyejukkan badan pnye pasal, aku bukak baju n pasang kipas kuat2..
tapi bangun2 sok pagi tahniah kepada aku sebab kene asthma..
huhu..
TT~TT

seb baik tak teruk..
lpas tu kene nasihat ngan ayah n mak kat skype..
"kamu dah tau kamu ada asthma yg kamu tido tak pakai baju sape suruh.."
u__u

ye.. ye.. salah aku sendiri.. huhu..
seb baik jugak sebab ada inhaler kat dalam beg kat sebelah..
n alhamdulillah coz skang dah ok.. ^-^

blaja2~!!

Tentang Aku

My photo
pelajar jurusan perubatan Universiti Mansoura, Mesir. seorang manusia yang suka mengutarakan pendapat dan berkongsi cerita. agak aktif dalam penulisan kreatif suatu ketika dahulu. ingin menjadi seorang yang berjaya pada masa depan. berazam menjadi seorang yang mampu ke depan dan berucap di hadapan khalayak ramai. bercita-cita tinggi dan berharap agar cita-cita tersebut tercapai.. hee..

Labels

Waktu Solat Mansoura (^-^)

Followers

Penafian (Disclaimer)

Segala kandungan dalam blog ini adalah pandangan peribadi penulis. Tiada isu berbangkit kerana blog ini merupakan hak peribadi penulis. Justeru penulis bebas menyatakan pendapat di bawah Artikel 22(a) Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam, dan Hak Kebebasan Bersuara dalam Perkara 19 Pengisytiharaan Hak Asasi Manusia Sejagat. Sebarang ketidakpuasan hati sila pendamkan dalam hati kerana kesah plak aku kalo ko tak puas hati! haha!!