Pages

Wednesday, December 21, 2011

Cukup ikhlaskah aku?

Assalamualaikum wbt.

Terasa lama sungguh hati ni tak terisi dengan peringatan dan muhasabah. Alhamdulillah semalam hari yang paling indah sebab Allah masih nak buka pintu hati saya menerima peringatan. Dan saya menerima peringatan itu melalui seorang yang saya sangat hormati (walaupun saya dah 'kena' dengan beliau sebelum tu) iaitu my specialist. Sangat-sangat mengajar. Sangat-sangat bersungguh mengingatkan saya tentang amanah dalam pekerjaan dan bagaimana untuk mencapai redha Allah. Mujur air mata saya tidak menitik di depan beliau. Kalau tak, mahu malu saya :)

Saya rasa sebak bila dengar peringatan daripadanya. Terasa diri ini amat jauh denganNya. Tercari-cari masa untuk bersemuka dengan Kekasih Hati. Tapi apa yang saya dapat simpulkan dari pesanan pakar saya tu, kita tak perlukan masa yang khusus untuk beribadah. Setiap waktu adalah waktu untuk ibadah. Selagi mana kita ikhlas, selagi itu setiap pekerjaan kita dikira ibadah. Allahu Akbar. Cukup ikhlaskah aku selama aku bekerja ini? 

Semoga saya masih tidak tersasar dari landasan yang sekarang saya berada ini. TT.TT

**Lama dah tak menulis. Hampir 3 minggu kan? Sibuk sikit la. Ada majlis :)

Monday, December 5, 2011

Pre- night shift

Assalamualaikum wbt.

Pagi ni adalah pagi yang sangat kelam kabut buat saya. Malam tadi tak dapat tidur sebab sakit perut yang amat sangat tapi malas nak pergi tandas sebab nak juga tidur. Bangun pagi je, perut sakit macam masuk angin. Saya pun cepat-cepat mandi, solat dan siap-siap semua. Ingat sebelum pergi hospital, nak pergi toilet dulu tapi ada orang pula. Last-last, saya terus je berjalan (baca: berjalan dengan laju) ke hospital dengan harapan saya cepat sampai dan boleh melepaskan hajat saya. 

Sampai je hospital, saya terus meluru. Rasa badan lembik sangat. Waktu tengah round dengan MO pun, saya terpaksa minta diri untuk ke tandas. Waktu tu saya dah sangat lemah dah. Tapi gagahkan juga. Tapi alhamdulillah, selepas tu perut saya dah ok. Kebetulan saya memang puasa hari ni. Jadi tak banyak la makanan dalam perut saya. Malam tadi pun hanya makan maggi je sebab tak sempat (baca: malas) nak turun beli makanan.

Ni balik rumah ni, mula rasa sakit tekak, hidung tersumbat. Macam nak demam semula. Dulu masa nak mula shift malam pun macam ni juga. Hurmmm nervous ke nak shift malam? Huhu..

Saya ada viva hari Rabu ni. Berdebar rasanya. Ok la, saya nak pergi solat sebab Azan dah berkumandang. Lepas tu saya nak study. Jumpa lagi jika diizinkan Allah. Wa ilalliqa'

**Ada MO baru masuk ke Jabatan Paediatrik. Dari Kuala Kubu Baru. Saya pun ada senior yang kerja di sana. Mesti dia kenal MO baru ni. He's helpful and very kind. I hope I can learn as much as possible macam saya belajar dengan MO-MO saya yang lain. 

Monday, November 28, 2011

Gaji

Assalamualaikum wbt.

Dalam minggu lepas, semua sibuk berkata tentang gaji. Kalau orang tak tanya saya, memanglah saya tak sedar pun yang saya ni dah kerja 2 bulan tapi tak dapat gaji lagi. Haha.. Kelakar kan? Orang kerja sebab nak dapat gaji, saya ni pula jenis tak kisah samada gaji dah masuk ke belum. Sampailah tadi, masa nak "dinner" (baca: breakfast+lunch+dinner), saya buka la wallet nak tengok ada duit kecik ke tak. Bila buka je, tinggal RM 25+ je!
Lepas tu tangan ni pun seluk-seluk la poket beg kalau-kalau ada duit yang terselit. Ada!! Terselit dalam RM 20 lagi. Hahaa.. dengan RM 40 ni la saya akan guna sampai awal bulan depan, mungkin? :P

Bercakap tentang gaji ni, saya tengah berfikir, macam mana nak sucikan duit pendapatan saya ni selain dari zakat. Hurmm dan dalam kepala saya ni tengah berputar-putar tentang donation to those who are needed. Sekurang-kurangnya menolong saya juga bila saya dah tak ada nanti, pahala tu yang akan berterusan. Semoga saya tetap dan sentiasa ingat niat saya yang satu ini.

Alhamdulillah, setakat ini walaupun gaji dua bulan belum masuk, saya masih boleh survive dengan baki simpanan yang saya buat semasa saya di Moscow dulu. Dulu kat Moscow semua orang kata sayalah orang paling kaya sebab elaun saya tinggi dan saya asyik simpan je duit. Dan orang kata saya simpan duit nak kahwin. Hurmm pada saya, saya simpan duit tu untuk kegunaan masa-masa kecemasan, contohnya seperti sekarang ni. Jika sekarang ni saya tak ada simpanan, mungkin saya akan pinjam duit orang yang mana saya sebenarnya kurang gemar untuk pinjam meminjam ni.. Alhamdulillah, duit sewa rumah masih mampu dibayar, dan saya tidaklah kebuluran kerana ikat perut atau berada di dalam keadaan yang teruk sebab kesempitan wang. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Rabb.

Dan baru saya sedar, yang saya dah dua bulan kerja dan dah separuh jalan di Jabatan Pediatrik! Ini bermakna, saya kena mantapkan diri dan cekapkan diri untuk buat semua kerja. Dan juga kena isi minda dan otak dengan ilmu kanak-kanak! Hurmmm.. (menghela nafas panjang) bila balik je saya rasa badan saya letih dan terus tidur. Macam mana la nak tahan kurang tidur macam zaman medical school dulu ye? Pernah seorang senior cakap, masuk Pediatrik (kanak-kanak) ni memang penat, dan kena banyak membaca. Memang dia dulu pun kurang tidur. Tapi tak apa, kurang tidur tu ada hikmahnya. Saya pula sekarang ni memang tak boleh tidur sikit. Senang kena sakit kepala, senang demam selesema semua. Bila cuti kena basuh baju, gosok baju, tidur. Huhu.. Tapi kadang-kadang tu study la juga cuma selalunya bila dah penat, buku tu dah jadi macam bedtime story je.. (menghela nafas lagi..)

Insyaallah saya nak cuba sedaya upaya saya untuk jadi cekap, tidak kelam kabut dan tak lembab. Kamu doakan saya ye. Saya pohon dengan sangat. Doakan saya lepas posting ni dan jadi houseman yang bagus cekap dan amanah. Dan doakan urusan saya dan kawan-kawan dipermudahkan. Amin

Thursday, November 24, 2011

Perkembangan diri, pemantapan rohani

Assalamualaikum wbt.

Baru berkesempatan nak menulis semula. Maaf kepada yang tertunggu-tunggu (ada ke? :-P) Minggu lepas alhamdulillah saya dahpun mengalami shift malam selama 3 malam berturut-turut. Dan masa tu lah saya mengalami demam, selesema dan batuk satu pakej. Terima kasih kepada MO-MO saya yang banyak membantu saya. Saya sangat bersyukur kepada Allah yang memudahkan urusan saya dan kawan-kawan saya malam tu. 

Dan Alhamdulillah saya sudah semakin sihat. Cuma berat saya semakin turun sebanyak 3-4 kg dalam masa sebulan. Lambat kan? Orang lain 2-3 minggu dah turun 3-4 kg, tapi saya, nak dekat sebulan baru turun. Ye la, sejak seminggu dua ni saya dah kurang selera makan nasi. Makan makanan yang ringan saja (macam roti, minum milo dan yang sewaktu dengannya) yang hanya cukup untuk mengalas perut. Saya lebih suka tidur untuk merehatkan diri. Saya lebih utamakan air dari makanan yang masuk dalam perut ni. Ramai juga yang kata saya dah makin mengecut. Huhu.. 

Sekarang ni ramai senior HO yang akan meninggalkan Jabatan Pediatrik. Ini bermakna, saya pun dah semakin lama di jabatan ini. Apa yang saya rancang untuk diri saya adalah, saya nak study dengan lebih rajin lagi supaya dapat mempersiapkan diri saya dengan ilmu yang lebih, supaya saya tidak menzalimi pesakit-pesakit saya. Ya Allah, bantulah hambaMu ini. Dan bantulah juga kawan-kawan hambaMu ini.

Kawan saya ada yang rasa tension dengan pekerjaan ini. Dulu saya pun tension juga. Ye la, posting pertama. Mana kita nak expect macam-macam. Tapi dari sehari ke sehari, saya cuba untuk memperbaiki diri. Perbaiki diri supaya menjadi lebih bertanggungjawab. Dan saya doa hari-hari supaya Allah mempermudahkan urusan saya dan kawan-kawan saya. Saya dah tak nak kena marah lagi sebab perkara-perkara kecil. Saya dah tak sanggup nak dipandang kecil oleh mereka-mereka itu. Ya, saya mengaku saya tak tahu, tapi tak salah kan kalau kita tanya apa yang kita tak tahu? Dari situ kita belajar. Itu lebih baik dari kalau kita buat-buat tahu. 

Hari ini hari Khamis. Sebolehnya saya dah tak nak terlepas dari membaca surah Al-Kahfi setiap Jumaat. Bila saya terlepas, saya rasa ada sesuatu yang kurang. Dan saya juga berusaha untuk solat di awal waktu. Saya berdoa agar Allah sentiasa mengingatkan saya supaya ingat pada Dia setiap masa. 

Kepada sahabat-sahabat yang mungkin sedang rasa tertekan atau apa saja perasaan yang berkaitan, saya nasihatkan mengadu pada Allah. Kalau perlukan teman untuk berkongsi perasaan, carilah. Mungkin ia akan mengurangkan perasaan berat itu. Lagi-lagi kalau ada teman sehidup semati, berdoalah yang dia akan faham dengan keadaan kita. 

**Bulan depan ada majlis besar lah di rumah saya. *grin*

Friday, November 11, 2011

First Poster

Assalamualaikum wbt.

Hari ini saya cuti. Inilah masanya saya nak recharge energy untuk bekerja semula. Semoga semuanya ok masa saya mulakan semula kerja saya. 

Betapa susahnya nak jadi seorang first poster. Ramai juga senior housemen yang cakap, yang first poster memang susah. Semua kena cepat tangkap. Saya cuba dengan sedaya upaya saya untuk jadi orang yang tidak ketinggalan. Memandangkan perjalanan saya di Paediatrics ni masih jauh, saya perlu berusaha dengan sedaya upaya saya, dengan kudrat dan kemampuan saya. 

Berfikiran positif memerlukan daya tahan jiwa yang mantap. Bukan senang ok! Jiwa saya dah pernah runtuh 2-3 kali dalam masa sebulan. Balik kerja saja, mesti terlelap. Sangat tension ok. Nescafe pun dah tak jalan. Memang dah tak sama dengan zaman belajar dulu. Masa belajar dulu, nak stay up pun tak ada hal punya. Tapi sekarang, susah sikit la..

Tapi saya tak nak menjatuhkan semangat saya, kawan-kawan, senior-senior dan junior-junior saya. Kalau orang lain boleh buat, kenapa saya tidak? Jangan jadi terlalu blurr. Tu yang paling penting. Orang lain boleh survive, kenapa saya tidak? *Cuba berfikiran positif*

Saya nak ucapkan terima kasih kepada sesiapa yang saya telah kacau untuk mendengar luahan hati saya. Teman rapat memang sangat diperlukan pada saat-saat kritikal begini. Apa guna jadi kawan kalau tak boleh mendengar luahan temannya sendiri bukan? Terima kasih sangat-sangat kepada mereka-mereka yang sudi tadah telinga mendengar dan sedekahkan air liur untuk memberi nasihat. 

**Tahniah kepada sahabat saya yang akan melangsungkan pernikahannya pada hari ni. Insyaallah kalau tak ada aral melintang, muncullah saya di sana nanti. Dan tak lupa juga kepada sesiapa yang bakal menjadi raja sehari pada hari ni, esok dan pada masa akan datang. Barakallahu lakum. :)

Wednesday, October 26, 2011

Jangan kisah apa orang lain kata

Assalamualaikum wbt.

Saya tahu sepatutnya saya perlu tidur sekarang sebab saya memang sangat-sangat mengantuk. Semalam balik pukul 11 malam sebab ada satu admission baru, kes AGE (acute gastroenteritis) di wad yang memerlukan bolus stat. Bila dah pasang, line tu tercabut pula! Aduhai, kena pasang pula IV line yang baru. Kata MO tu, budak tu ada metabolic acidosis, jadi kena cepat la bagi bolus. Kelam kabut la kitorang pasang line baru. Sudahnya, minta tolong Staff Nurse yang baik hati tolong pasangkan. Alhamdulillah, budak tu pun kelihatan stabil dengan menangis bercucuran air mata.. Semua tu siap pukul 10.30 malam (sepatutnya balik pukul 10) tapi lepas tu uruskan order ubat untuk patient (AEBA-acute exacerbation of bronchial asthma) yang lagi satu. Dalam pada masih nervous dengan kes AGE tu, nak order ubat untuk patient AEBA tu, terus macam bengong sekejap sebab dah rasa hypoglycemic. Petang tu tak makan sebab tiba-tiba ada pula kes baru kat NICU yang memerlukan khidmat kita. Jadi patient first! 

Dan sekarang ni saya rasa sangat mengantuk, tapi ingat nak tunggu maghrib dan isya dulu baru boleh tidur. Hurmm.. Tak payah mandi la, esok je la mandi sekali untuk pergi kerja. Hehe.. Teruknya saya ni. Selalu pun tak sempat mandi, balik je terus tidur. Sebab apa? Sebab penat sangat dan saya dahpun siap-siap solat Isya di hospital ;-)

**Pengajaran untuk hari ni. Jangan kisah apa orang lain kata. Kita kisahkan kerja kita samada sempurna atau tidak. Lillahi Taala. Nanti la saya cerita kalau saya tak lupa. :-P

Sunday, October 23, 2011

Aku bekerja kerana Allah

Assalamualaikum wbt.

Menjadi doktor bukanlah seronok seperti yang disangka ramai orang. Tapi ia lebih kepada memegang tanggungjawab dan amanah yang amat berat untuk dilakukan dengan sebaik mungkin. Dan juga kena ingatkan diri sendiri bahawa seorang doktor itu bukan Tuhan. Nyawa manusia itu tetap di tangan Tuhannya, doktor hanya berhadapan dengan nyawa manusia. 

Hati kena selalu diingatkan supaya bekerja kerana Tuhan. Hati kena selalu ditenangkan agar tetap terus menjalankan amanah dengan sempurna. Hati kena selalu dididik untuk tidak bersangka buruk dengan manusia.

Ada satu ketika saya berasa sungguh down walaupun baru masuk hospital 2 minggu. Saya sangat kecewa dengan pencapaian diri saya. Dan ketika itu jugalah Allah mendengar rintihan saya. Ketika itu saya rasakan saya tiada sesiapa di dunia ini melainkan Pencipta saya yang sangat setia mendengar luahan hati hambaNya yang seorang ini. 

Saya kena rajin untuk belajar semula. Tamat pengajian perubatan bukan bermakna tamat belajar ilmu perubatan. Hakikatnya grad saja jadi doktor, di saat itulah pengembaraan menuntut ilmu bermula. A doctor's life begins after graduation. Siapa tak percaya, tanya mereka-mereka yang lain. 

Jika ada masa, saya akan berkongsi cerita-cerita yang mungkin dapat memberi panduan dan tauladan kepada mereka yang memerlukan. Junior-junior saya di luar sana, kita kena selalu beringat. Dah bekerja ni, kita biasanya berada di bawah, cuma kadang-kala saja kita berada di atas. Bila kita berada di atas, pasti juga kita akan kembali ke bawah. Trust me. So bila dah ada kat atas tu, jangan lupa jenguk-jenguk juga ke bawah.

**Dua hari lepas saya rasa sangat down. Sampaikan tidur bertemankan air mata mengenang pencapaian diri. Dan dari hati terdetik,"Aku bekerja kerana Allah, bukan kerana orang lain."

Sunday, October 16, 2011

Pengalaman Minggu Pertama Housemanship

Assalamualaikum wbt.

Hari ni hari minggu. Hari ni juga hari saya bekerja sebab masih dalam tempoh tagging. Tapi tak apa, mana-mana doktor pelatih baru pun mengalami pengalaman macam saya dulu. Selalu saya masuk kerja pukul 7 pagi dan balik pukul 10 malam, tapi hari Sabtu Ahad, kami dibenarkan balik pukul 5 petang, cuma disebabkan saya banyak kes hari ini, saya balik setengah jam lewat.

Dalam tempoh tagging ni, kami belajar bagaimana nak key in data, informasi pesakit, order dengan lab untuk ujian kimia darah dan yang seumpamanya. Maklumlah, Hospital Ampang adalah systemically computerized. Jadi semua informasi hendaklah dimasukkan ke dalam komputer untuk direkodkan.

Dan tempoh tagging juga memang memenatkan. Kawan-kawan janganlah mengeluh dulu. Biasalah penat. Tapi dalam tempoh tagging ni juga, kami belajar sebanyak yang boleh agar bila dah mula sistem shif, tidaklah kelam kabut. Dan biasalah juga kalau kena marah dengan bos. Setakat ni, di Hospital Ampang, belum lagi mereka memandang rendah dengan Russian grads. Mereka memandang kita sebagai seorang individu, bukan judge seorang untuk semua. 

Saya pun masih awal lagi untuk berkata apa-apa tentang pengalaman housemanship ni. Tapi saya cuba untuk mengekalkan prestasi terbaik selagi saya boleh. Saya ni pun lembab juga nak tangkap sistem shif ni. Dengan ilmu yang tidak seberapa, saya cuba untuk meningkatkan tahap ilmu saya agar saya mampu buat kerja dengan baik dan bertanggungjawab. Skill tanpa ilmu atau sebaliknya, tiada guna juga. 

Saya cuba untuk ingat semua pesanan senior-senior saya yang saya kutip dulu. Jaga attitude, jaga hubungan baik dengan teman sekerja, belajar dengan cepat, berdisiplin dan yang paling penting, jaga hubungan baik dengan Rabb. Jika ada masa untuk saya berpeluang menunaikan solat, saya berusaha untuk menunaikan solat di awal waktu walaupun saya terpaksa korbankan waktu makan (tapi selalunya wak tu makan tak dikorbankan pun sebab sempat je nak makan). Kalau saya sempat nak solat Isya sebelum balik ke rumah, insyaallah saya solat siap-siap di hospital sebab balik je rumah, memang nak tidur terus. 

Setakat seminggu saya bekerja sebagai seorang staf di Hospital Ampang, itu sajalah yang saya boleh kongsikan. Saya juga kena marah disebabkan perkara kecil. Dan saya juga diajar dengan penuh sabar oleh senior-senior saya. Yang penting, kalau tak tahu jangan malu bertanya walaupun kadang-kadang perkara tu amatlah bo**h untuk ditanya. Malu bertanya, sesat jalan! ;-)

Tuesday, October 11, 2011

Posting

Assalamualaikum wbt.

Posting: Hospital Ampang
Jabatan: Pediatrik

Bismillahi tawakkaltu 'alallah. La haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim. 

Kami berusaha dan kami bertawakkal kepadaMu Ya Rabb. Janganlah lalaikan kami dari bergantung penuh kepadaMu. Tetapkanlah hati kami dan tunjukkanlah kami jalan yang benar. Amin.




Thursday, September 29, 2011

Urusan kemasukan kerja

Assalamualaikum wbt.

Kalau blog saya ni macam plurk.com (bagi sesiapa yang tahu), pasti karma saya sudah jatuh merudum akibat dari membiarkan blog saya bersawang tanpa update terbaru! *sigh*. Kalaulah saya ada pengikut blog ini, pasti mereka juga bosan menunggu bilalah agaknya saya mahu update blog ini. Silap haribulan, ada yang lari. Hihi..

Hurmm.. Minggu ini adalah minggu terakhir saya bersantai-santai sebab bermula dari minggu depan, saya akan mengikuti kursus induksi di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Johor Bharu. Alahai, bermulalah episod terbaru di dalam kisah kehidupan saya yang biasa-biasa ini. Tak tahulah bagaimana keadaan saya apabila mula bekerja nanti.

Saya amat berharap doa saya dikabulkan Allah. Masa depan saya juga diharapkan menjadi baik dan berkualiti. Ermm.. apa la yang saya mahu cakap sebenarnya ni?? Confuse la.. Hehe.. Apa yang saya cuba sampaikan? Saya sendiri pun tak tahu. Huhu..

Baru-baru ni saya ketagih kepada satu benda. Nak tahu saya ketagih apa? Yang pastinya, saya bukanlah ketagih benda yang bukan-bukan. Bukanlah dadah ke heroin ke, tapi sesuatu yang kamu juga mungkin lakukan! Nak tahu apa dia? Tunggu entri seterusnya.

Alhamdulillah saya dah nak masuk kerja. Dalam pada takut tu, pesan sahabat saya seorang ni: patutnya ko bersyukur dapat kerja! Jadi sebab tu saya ucap Alhamdulillah J

Sepanjang saya menguruskan hal untuk mula kerja ini, saya perlu membuat pemeriksaan kesihatan (medical check up) dan ujian air kending dadah (heroin & carnabis). Alhamdulillah semuanya normal belaka tanpa positif dadah walaupun seminggu sebelum tu, saya mengalami demam  dan selesema yang agak teruk. Hamper saja saya suspect saya ada chicken pox sebab gatal-gatal dan tumbuh macam ruam chicken pox di kaki dan tangan yang makin bertambah hari demi hari. Tapi rupa-rupanya gatal tu sebab allergic dengan cadar. Haha..

Dan saya juga kena pergi berjumpa pesuruhjaya sumpah untuk mengesahkan saya bebas dari sebarang jenayah dan bankruptcy. Tapi yang ni senang je nak buat. Jumpa saja mana-mana pesuruhjaya sumpah, minta tanda tangan. Tapi kadang-kadang ada juga pesuruhjaya sumpah yang minta kita bacakan pengakuan tu. Dan biasanya akan dicaj. Saya kena RM 4 saja J

Tapi Alhamdulillah segala urusan saya dipermudahkan oleh Pemilik segala urusan, Rabbul Jalil. Kita rasa kita mampu menguruskan semua, tapi kita kena ingat, doa tu penting agar kita sentiasa dipermudahkan dalam melakukan sebarang urusan.

**harapnya saya boleh update lagi tentang ketagihan saya tu. Amin.

Monday, September 19, 2011

Risau saya ditenangkan


Assalamualaikum wbt.

Seseorang pernah beri feedback begini tatkala saya menyatakan yang saya risau untuk memulakan jalan kerjaya saya. Feedbacknya begini: Tak payah risau lah, asyik nak risau je buat apa, bukan ada hasil pun. Setiap kali risau, ingat kat Allah, doa supaya diberi ketenangan, daripada risau tak tentu hala. Kalau ingat Allah kan boleh tenangkan hati..

Saya teringat surah Ar-Ra’d ayat 28 bila saya mendengar pesanan sahabar baik saya ini. Dan setiap kali saya rasa risau, saya ingat pesanan dia yang satu ini. Terima kasih sebab selalu beri nasihat yang baik pada saya. Dan selalu kembalikan saya kepada Pencipta saya. Harapnya kamu dapat sentiasa beri nasihat yang membina untuk saya nanti. Supaya saya tidak tersasar dari jalanNya.

**Sejujurnya, saya memang risau dan berdebar untuk mula kerja. Besar kemungkinan saya akan mula bekerja awal bulan 10 insyaallah. Itupun jika saya dipanggil induksi awal. Jika tidak, sambung tanma anggur la :P
**Syukurnya saya dapat sahabat sebaik ini. Saya tak mahu kehilangan sahabat terbaik saya ni. 

Tuesday, September 6, 2011

Gambar raya

Assalamualaikum wbt.

Sedikit gambar raya untuk tatapan para pembaca. Pertama kali selepas 6 tahun, kerja saya hanya menangkap gambar saja! Inilah sedikit hasilnya.

Inilah keluarga saya. 
Kami sekeluarga bersama adik beradik dan ipar duai.

Agaknya dulu-dulu saya macam ni juga kot. Keluar je dari rumah orang, tengok berapa duit raya yang diberi.


Saya geram dengan budak kecil ni. Auni! My niece.

Auni, budak yang pandai mengajuk orang. 


**Maaf sebab terlalu lama ambil masa nak letak gambar.
**September ni, ramai kawan saya kahwin. Rasa macam tak sempat je nak attend semua (roll eyes)
**Berdebar nak tunggu surat panggilan induksi. 

Friday, September 2, 2011

Kisah raya saya


Assalamualaikum wbt.

Sudah lama betul saya tidak menulis di sini. Ye lah kan, saya bercuti ikut orang bekerja bercuti. Raya lagi, cuti merdeka lagi. Jadi lama juga la saya cuti dari blogging ni. Tapi hari ni terasa mahu menulis pula. Menulis tentang apa lagi, tentang pengalaman saya beraya di Malaysia setelah sekian lama tak beraya bersama keluarga tercinta.

Nak tahu betapa semangatnya saya berhari raya di Malaysia, saya siap buat kuih raya lagi! Semangat tak? Hehe.. ada la dalam 4 jenis. Dua jenis saya buat, lagi dua jenis saya tolong kakak saya. Tapi ada jugalah yang ditunjuk. Tak larat la nak buat banyak-banyak. Dengan anak saudara saya lagi yang mahu dijaga, tak menang tanganlah kata orang untuk handle semuanya. Jadi saya buat mana yang saya termampu saja lah.

Ha.. tahun ni semua ahli keluarga saya berkumpul di rumah Klang kecuali kak mija yang masih lagi berjuang menghabiskan masternya di Melbourne yang insyaallah akan habis bulan oktober ini. Macam biasa, sebelum raya tu, keluarga kami (baca: orang jawa tapi tak tahulah semua orang jawa buat ke tak) akan hantar makanan ke rumah saudara mara. Kalau orang jawa, itu dipanggil munjung (tak tahulah betul ke tak. Takut keluarga saya je yang buat :D) tapi kali ni kami ber-munjung 3 hari sebelum raya. Jadi sehari sebelum raya tu, relax sikit la sebab tak payah ber-munjung dah..

Sehari sebelum raya pula kami siapkan lontong (yang berbalut dengan daun pisang tu) dan ketupat. Oh ya! Saya dah pandai anyam ketupat! Malunya dah besar-besar baru pandai anyam ketupat. Masa kecil dulu tak mahu belajar. Tapi tak apalah, orang London cakap: better late than never. Huhu..

Bila pagi raya tu, kami sangat sibuk melayan tetamu yang tak putus-putus. Tapi tak mengapa sebab tetamu tu kan membawa berkat.. kami tak sempat pun nak salam raya pagi tu. Kami hanya sempat salam raya lepas waktu zuhur. Haaa.. waktu tu la saya menangis sebab dapat beraya di Malaysia dan bersalam memohon ampun maaf dari semua ahli keluarga. Dulu masa belajar di Moscow, langsung tak dapat salam raya dan hanya meminta maaf melalui telefon saja. Kalau guna telefon, perasaannya lain jika dibandingkan dengan minta maaf secara langsung. Memang perasaan hiba tu datang sendiri la.. dan tu pula air mata tak mahu berhenti, saya menangis siap teresak-esak lagi. Alahai malunya tapi tak apalah, ni kali pertama saya beraya selepas 6 tahun di perantauan.

Satu yang gembiranya, saya masih lagi dapat duit raya sebab saya belum kerja! Adik saya yang dah kerja pun bagi juga duit raya pada saya. Hehe.. lebar je senyum saya. Dan Alhamdulillah saya dah masukkan duit-duit tu ke dalam tabung haji. Saya juga dah daftar haji. Kalau diizinkan Allah, dapatlah saya jejakkan kaki ke Baitullah Al-Haram tu.

**Terima kasih kepada yang sudi datang beraya ke rumah. Semoga keberkatan yang kalian bawa itu membawa rahmat kepada kita semua.
**Kongsilah dengan saya kisah raya kamu. Mahu tahu juga.
**Gambar tak sempat nak transfer. Jadi tak sempat nak letak kat sini..

Thursday, August 11, 2011

Budak kecil

Assalamualaikum wbt.

Bila tengah cuti menanam anggur ni, saya membuat kerja kosong sebagai babysitter tanpa gaji di rumah memandangkan kakak saya pun dah bersalin dan masih dalam pantang. Jadi saya pun tolong la jaga anak-anaknya yang dah besar sikit tu. 

Bila jaga budak kecil ni, memang kena ada kesabaran yang sangat tinggi. Macam-macam fi'il betul budak-budak ni.. Kalau dia tak dengar cakap tu, rasa menyirap je darah ni. Agaknya dulu kalau saya kecil dan tak dengar cakap, mesti Mak Abah kakak-kakak semua rasa apa yang saya rasa bila jaga anak saudara yang tak dengar cakap ni kn.. Huhu..

Satu lagi, bila jaga budak kecil ni (anak saudara saya khususnya), kalau tv tu, asyik nak tengok cartoon je. Sampai saya rasa sekarang, dah tak kisah dah tak tengok tv pun tak apalah. Mengalah la dengan budak-budak. Agaknya bila dah jadi parents, benda ni jugalah yang dirasa nanti. Tapi semalam ada insiden kelakar terjadi berkenaan dengan tv ni. Anak saudara saya seorang ni namanya Muhaammad Hasya Qasyri. Kami panggil Hasya je. Dia ni la yang suka sangat tengok cartoon. Kalau dia tak tidur 24/7, agaknya memang 24/7 dia tengok cartoon. Nak dijadikan cerita memang lawak la semalam, Mak nak tengok cerita Indonesia kat tv 104 (astro) tapi Hasya nak tengok cartoon. Jadi berebutlah si nenek dan cucu nak tengok tv! Kitorang yang tengok insiden ni punyalah gelak! Nenek dengan cucu berebut tv! Hahaha..

Tambah lagi satu tabiat. Anak saudara saya ni sangat susah nak tidur. Kadang-kadang (baca: selalunya) tengah-tengah nak tidurkan dia, kita yang dah berlayar di alam mimpi dulu. Haha.. Perkara tu selalu terjadi kepada saya sebab saya. Tambah lagi saya ni sangat senang nak tidur. Masa kita tengah tidur ni la dia pergi main mata kita la (baca: macam nak korek biji mata), pijak-pijak badan la (kalau tak cukup lemak, boleh lebam kot!), tarik-tarik tangan la, macam-macam lagi la. Agaknya saya dulu pun macam tu juga kot? *thinking*

Budak kecil ni memang susah nak makan nasi. Asyik nak makan benda yang bukan-bukan je. Dan pelik pula tu fi'il makannya. Macam adik perempuan si Hasya ni, dia ni memang la susah nak tidur malam. Waktu nak tidur tu (ada la selalunya dalam pukul 12.30 ++ malam)ada ke dia minta nak makan! Kita ni mata dah terkulat-kulat nak tidur, dia minta makanan pula. Jenuh pula nak mencari makanan tengah-tengah malam buta. Hahaha satu pengalaman yang menarik! Nasib baik dia bukan jenis bangun tengah malam minta buatkan susu! :-P

Banyak lagi la kot fi'il budak kecil yang pelik-pelik ni. Yang saya tulis kat atas tu pun hanya sebahagian kecil saja sebab baru jaga dua minggu. Kalau dah ada anak sendiri tu, mungkin akan jadi lebih pening kepala! Hahaha.. Takpa lah, cabaran yang menduga iman. Besar pahala kalau kita bersabar. Budak kecil lagi bersih hatinya, jadi kita pun kena sentiasa bersihkan hati :) Lagipun boleh practice untuk masuk department Paediatrics nanti (bak kata Sarah Shukor)

Mesti kamu semua ada pengalaman jaga budak kecil kan? Oh ye, saya sekarang dah ada 11 orang anak buah. Ramai kan? ;-) 

**Selamat menjalani ibadah puasa walaupun dah masuk hari ke-11. Pecut lagi dalam ibadah! Mungkin ini pertama kali saya tak buat apa-apa (belajar atau kerja) di bulan Ramadhan. Bak kata seseorang, sementara kita ni tak buat apa-apa, marilah kita tingkatkan amalan di bulan puasa ni. Jangan lepaskan langsung tawaran dari Allah Ta'ala kepada kita. Kalau tak, rugi nanti. Kalau dah kerja, tak tahu boleh ke tak nak concentrate dalam beribadah di bulan puasa ni.. (tu bak kata dia yang memang betul pun T.T)

Tuesday, August 9, 2011

Temuduga SPA


Assalamualaikum wbt.

Apa yang datang dalam fikiran saya bila saya dengar perkataan temuduga adalah, kita bertemu dan diduga oleh penemuduga. Betul bukan? Kita diduga pengetahuan tentang sesuatu, kita diduga pemikiran kita, kita diduga tentang pandangan kita tentang sesuatu. Lain pula dengan temuramah. Kita bertemu dan beramah mesra.

Kenapa saya cakap pasal temuduga? Sebab saya baru saja selesai menghadiri sesi temuduga di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Putrajaya pagi tadi. Secara keseluruhannya saya boleh katakan yang temuduga tu sebenarnya ok saja tapi bergantung kepada pembawakan seseorang calon temuduga tu bagaimana dia mengandalikan dirinya ketika temuduga tu.

Pagi tu saya bertolak dari rumah pukul 6.45 pagi sebab hantar adik dulu ke perhentian bas. Kemudian saya dan Abah terus bertolak ke Putrajaya dan sampai sana lebih kurang pukul 7.45 pagi. Bila naik saja ke tingkat 6 tu, saya lihat sudah ramai calon temuduga yang dah hadir lebih awal. Ada la 100 orang lebih. Sampai saja, tunggu nama kita dipanggil. Macam saya tadi, sebelum saya sampai, nama saya dah dipanggil sebab ada kawan yang dah sampai dulu, dia yang bagitahu. Jadi, kalau kita Nampak ada kawan kita yang dah sampai awal, Tanya dia nama kita dah dipanggil ke belum. Bila dah dipanggil, pergi ke kaunter depan tu ambil boring dan isi. Oh ya, sebelum saya terlupa, bagi yang akan hadiri temuduga SPA, anda dikehendaki bawa dokumen ASAL dan SALINAN berikut:

  1. MYKAD
  2. SIJIL KELAHIRAN (SURAT BERANAK)
  3. SIJIL SPM
  4. DIPLOMA DAN TRANSKRIP
  5. TERJEMAHAN DIPLOMA DAN TRANSKRIP
  6. SIJIL /SURAT PENDAFTARAN SEMENTARA (YANG DAPAT DARI MMC)
  7. SURAT TAMAT PENGAJIAN (JIKA ADA)

Yang salinan tu bila tanya pegawai SPA tu, ada yang kata kena sahkan (certified true copy) tapi ada yang kata tak payah. Saya sahkan saja tapi ada kawan tu yang tak sahkan pun, dia terima je. Hurmm ada yang terlupa tak? Kalau saya terlupa, tanyalah kat kotak komen kat bawah ni ye.. insyaallah nanti saya jawab.

Ok, kita teruskan dengan apa yang berlaku seterusnya. Kat situ ada banyak bilik temuduga. Saya dapat bilik M. Nombor bilik tu akan diberikan selepas kita isi borang dan serahkan salinan dokumen kepada pegawai SPA kat kaunter bila dia minta.

Ok, bila dah sampai giliran saya, saya masuk ke bilik temuduga. Sebelum tu memang tak berhenti la selawat dan baca surah Insyirah. Masuk je saya bagi salam sebab sebelum tu ada orang dah masuk dan dia kata dua-dua orang penemuduga tu orang Melayu (yang saya anggap mereka Islam). Pergi kepada apa soalan yang mereka tanya:

  1. Soalan 1: Siapa nama kamu? Bila dah cakap nama, dia teruskan soalan, perkenalkan diri Shazwani. Saya pun cerita lah apa yang saya nak cerita, nama, tinggal di mana, lahir di mana, adik beradik berapa. Kenapa nak jadi doctor? (soalan ni kena bersedia dengan jawapan yang bagus la, jawapan selamat >> Sebab saya nak jadi doctor!) tapi sebab saya jawab sebab ayah saya suruh jadi doctor, sampai ke sudah mereka kaitkan dengan jawapan saya yang awal tadi.
  2. Soalan 2: Jika kamu balik dair temuduga ni, dalam perjalanan pulang, kamu ada Nampak orang collapse, what should you do? Saya jawab, CPR. How to do CPR? Airways, then straight to compression (according to the new guideline bak kata doctor yang termuduga saya tu la). How many compressions? 30:2. Rate of compression? 100 compression per minute.
  3. Soalan 3: what do you know about acute coronary syndrome? Cakap la pasal Acute MI, unstable angina. AMI tu ada STEMI dan NSTEMI. Pastu dia tanya, what’s the different of treatment between STEMI dan NSTEMI? Cakap la STEMI tu guna thrombolytic tapi NSTEMI tak guna.
  4. Soalan 4: what are the signs of patient with heart disease? Cakap la sign dia. Dyspnea, pain (we should describe type of pain), where the pain radiates? Treatment of it. Aspirin, oxygen (refer buku la ye)
  5. Soalan 5: what is the endemic disease in Malaysia? Jawapannya dengue (demam denggi). Pastu dia suruh describe the signs and symptoms (refer Sarawak handbook). Lepas tu dia tanya blood picture in patient with dengue. Paling ketara adalah platelet dia rendah.
  6. Soalan 6: kalau dihantar ke mana-mana, kamu sanggup? Apa saya jawab? Saya jawab: sanggup tapi buat masa sekarang ni belum lagi bersedia untuk ke mana-mana selain dari sekitar Selangor. Lepas tu dia tanya, kalau lepas-lepas ni sanggup? Sanggup insyaallah.
Jadi kesimpulannnya, saya dapat tazkirah percuma hari ni. Kata penemuduga yang doctor tu: your knowledge in medical field is very lacking. You should study to become a good doctor (lebih kurang macam tu la). Kalau kita jadi doctor ni, biar dari hati, kita yang nak jadi doctor. Kita nak rasa gembira tengok pesakit kita sembuh. Dan pegawai SPA tu pesan: kita ni nak genggam bara api, biar genggam kuat-kuat. Jadi soalan terakhir untuk saya: are you ready to go all the way after this? Saya jawab: Yes I am READY and I am READY to learn.

 Lebih kurang macam tu la sesi temuduga saya. Tapi bila dalam tu rasanya macam berdebarnya lain macam. Saya rasa kamu semua yang nak pergi temuduga, pay attention on what disease is more common in Malaysia. Tapi ada yang kata pegawai SPA tu tanya lebih teruk dari yang doctor. Tengok la kamu dapat bilik mana.

Untuk terakhirnya, saya ucapkan Semoga Berjaya kepada semua calon yang akan hadiri temuduga SPA. Dan kamu doakan saya lulus la temuduga ni ye. Doakan juga kawan-kawan saya yang lain.

Tuesday, July 26, 2011

Orang kita. Sama je dengan Orang Rusia.

Assalamualaikum wbt.

Hai semua!! Apa khabar? Saya harap semua sihat la ye. Maaflah tak sempat nak kemaskini blog ni sebab dalam masa seminggu ni saya sangat sibuk menguruskan macam-macam hal. Minggu lepas saya duduk di rumah kakak saya di Sibu, Sarawak. Jadi kat sana memanglah tak sempat nak online. Jumaat lepas baru pulang ke Semenanjung. Saya ke sana sebenarnya menunggu kakak saya bersalin tapi mungkin baby tak percaya Acik dia ni kot, tu sebab sepanjang saya kat sana, dia tak mahu keluar hihi..

Semalam pula saya ke Putrajaya untuk pergi mendaftar dan. Satu hari juga saya di sana. Bila dah sampai Malaysia ni, baru saya sedar yang orang sini bekerja lebih kurang je dengan orang Rusia. Kita ni dok la kutuk-kutuk orang Rusia bekerja tapi orang kita sendiri tak improve kualiti dan cara kerja. Saya bukan nak bangga diri tapi saya ni agak (maksudnya bukan selalu) menepati masa. Orang putih kata punctual la. Takpe kalau saya datang awal untuk menunggu orang, tapi setakat lambat sepuluh minit tu, saya masih boleh maafkan. Tapi yang saya bengang adalah, kalau orang tu lambat, tapi dok cakap, "Hurmm biasanya orang (cha ya nun alif) ni punctual, orang (mim lam alif ya wau) ni selalu lambat. Malu saya.." Saya duduk kat situ rasa tak tahulah nak gambarkan. Kalau ikut hati, nak saja sound, "Kak, saya lagi malu dengan akak, akak janji pukul sekian-sekian, tapi akak keluar sekian-sekian (waktu tu lewat 10 minit)" Tapi disebabkan dah petang, saya pun malas la nak bertekak kat situ. Nanti kata kita kurang diajar pula. 

Hurmm balik semalam saya memang dah pengsan. Sampai semua call dan mesej saya tak sedar. Pagi ni baru sedar semuanya. Lagipun sekarang ni saya duduk rumah kakak saya di Shah Alam sebab Mak dengan Abah berada di Sibu tunggu kakak saya bersalin. Alhamdulillah semalam dah bertambah lagi seorang anak saudara saya menjadikan jumlahnya semua 11 orang! Ada yang boleh challange? hihi.. Gurau je..

Sekarang ni saya duduk rumah seorang diri. Tadi baru saja selesai mengemas rumah. Ye la, kita duduk rumah orang (walaupun kakak sendiri) makan free, wifi free, semua benda free la, jadi kita kena beradab la tolong apa-apa yang patut :)

Selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak. Semoga kita sentiasas menjadi hambaNya yang bersyukur di samping menghidupkan Ramadhan dengan ibadah yang berkualiti. Insyaallah. Semoga apa yang saya cakap ni saya dapat laksanakan. Ahlan Ya Ramadhan. 

Wednesday, July 13, 2011

Malaysia

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi saya telahpun selamat sampai di Malaysia. Memang tiada tandinganlah tanah air sendiri dengan tempat orang. Cuma sekarang, saya sudahpun rindu dengan kawan-kawan saya di Moscow yang sekarang ni sudah bertebaran di seluruh Malaysia. Semoga pengalaman kita di Moscow dapat memberi manfaat dan inspirasi kepada orang-orang yang berada di dalam kelompok kita nanti :)

Tapi saya sedikit berdebar untuk memulakan kehidupan berkerjaya saya ni. Adakah saya cukup competent utnuk menjadi doktor yang disenangi masyarakat tapi dalam masa yang sama mengangkat syariat Tuhan di muka bumi? Insyaallah, saya akan cuba, Pesan seorang rakan terbaik saya, "Selagi niat kita bekerja kerana Allah, insyaallah segalanya akan dipermudahkan dan ok." Eh, bunyi macam headline blog ni pula kan? :P

Semoga kamu semua masih tidak jemu untuk mengunjungi blog ni walaupun kadang kala saya jarang update blog ni. Dan saya sendiri tak tahu siapa yang menjadi pengunjung tetap saya. Siapa yang jadi pengunjung tetap ni, rasa macam nak bagi hadiah pula. Hihi..

Apa rancangan terdekat saya? Insyaallah saya akan ke Sibu untuk meneman kakak saya yang bakal menimang seorang lagi anak dalam masa terdekat ni. Saya ni macam sibuk mengalahkan YB! Hehe.. Sibu tu dah macam rumah kedua saya pula. Setiap tahun mesti berkunjung ke sana. Tapi tak apalah, boleh main dengan Hasya dan Auni.

Entah bila saya mahu ambil lesen kereta ni? Aduhai. Semoga cepatlah saya daftar. Saya ni cakap je cepat tapi masih leka duduk rumah mengemas bagai. Hurmm ye la mengemas la sikit-sikit sebab nak kenduri kan.. Hihi :P

Oklah. Gotta go. Adios. Assalamualaikum :) Peace no War V('.')V

Sunday, July 3, 2011

Hari Graduasi FMSMU

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. Semalam merupakan hari bersejarah untuk saya dan rakan-rakan seperjuangan. Hari semalam mungkin tidak akan dilupakan sepanjang hayat saya. Semua suka duka sepanjang pengajian kami memang satu memori yang sangat bernilai dan mungkin boleh dikongsi dengan anak cucu nanti (insyaallah :P)

Kami merupakan batch pertama graduan First Moscow State Medical University (FMSMU) sejak nama universiti ditukar dari Moscow Medical Academy. Lencana universiti pun dah bertukar. 


Hari pertama (1 Julai) adalah hari angkat sumpah. Tapi saya tak banyak sangat ambil gambar sebab kamera buat hal. Setting lari sikit. Tapi tak apa, hari kedua (2 Julai) kamera berdisiplin sikit. Jadi gambar pun cantik la.. Hehe.. Hari pertama tu angkat sumpah dengan orang tempatan sekali. Angkat sumpah (Oath) dalam bahasa Rusia. Tergeliat juga la lidah ni.. Hihi.. 

Hari kedua ni pula ialah hari penerimaan sijil. Kiranay naik pentas dengan jubah konvo la. Saya tak berapa sempat nak ambil gambar sebelum majlis sebab kelam kabut. Datang pula terlambat, nak pakai jubah sendiri pula tu.. Memang tak sempat. Ambil mana yang sempat sajalah. 



Di dalam dewan pula ada la sikit-sikit saya ambil gambar untuk tatapan keluarga di kampung. Cewah. Bunyi macam sedih je kan. Tak lah. Tak apalah tak ada rezeki nak keluarga datang sini. Masa Kak Idah dengan Kak Mija graduated kat UK dan US pun, mak abah tak datang juga. Mia kat OZ pun dorang tak datang juga. Jadi tak apalah. Bukan saya seorang pun, masih ada lagi kawan-kawan yang sama macam saya ni. Tapi saya menumpang kasih dengan ibu bapa kawan-kawan saya yang datang la. Ramainya ibu bapa saya!! :D











Semua muka gembira saja kan? Semua tak lekang dari bibir. Saya pun rasa saya memang tak berhenti senyum dari semalam sampailah saya masuk tidur malam tadi.. Hihi.. Sampaikan saya ras anak tidur dengan year book saya! :P



Terima kasihlah kepada yang bagi bunga kat saya ni. Saya dah letak bunga tu dalam pasu berisi air, nak bagi kembang cantik. Dah la warna bunga tu sama macam baju yang saya pakai! Bunga ros pula tu. Tak sangka pula dapat bunga.. Nanti balik, saya nak bunga juga lah! Harap-harap ada la yang sudi bagi lagi.. Hihi.. Alang-alang adik saya sekarang jadi tauke bunga, saya nak pau dia la. Hehe..
































Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. Syukur untuk kejayaan yang saya kira ini merupakan titik tolak permulaan kehidupan saya ke araha yang lebih dewasa. Tahniah kepada semua graduan. Tahniah atas kejayaan ni. Semoga dengan graduasi ini, kita berusaha lagi untuk menjadi doktor yang mampu menggalas tanggungjawab di samping mengangkat syariat. Insyaallah.


**Boleh tak balik ni nak ambil gambar di studio? Jubah boleh bawa balik.. Amacam? Patut tak?