Fadillah Yusof
Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof (Jawi: فضيلة بن يوسف; lahir 17 April 1962) ialah seorang ahli politik dan peguam Malaysia yang telah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia sejak 2022, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sejak 2023 serta Ahli Parlimen (AP) bagi Petra Jaya sejak 2004. Beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri pertama dari Sarawak, salah satu negeri di Borneo. Di peringkat akar umbi parti, beliau merupakan Naib Presiden (Kanan) bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) iaitu salah satu parti komponen di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dari Disember 2022 hingga Disember 2023, Menteri Kanan yang bertanggungjawab ke atas Kerja Raya merangkap Menteri Kerja Raya bagi penggal ketiga dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah bekas Perdana Menteri Ismail Sabri dari Ogos 2021 sehingga kejatuhan pentadbiran BN pada November 2022. Beliau juga berkhidmat sebagai Menteri Kanan yang bertanggungjawab ke atas Pembangunan Infrastruktur merangkap Menteri Kerja Raya bagi penggal kedua dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, dan bagi penggal pertama dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah bekas Perdana Menteri Najib Razak dari Mei 2013 hingga Mei 2018.Selain itu, beliau pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Sains, Inovasi dan Alam Sekitar, salah satu daripada hanya dua jawatankuasa pilihan yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen pembangkang dari Disember 2019 sehingga pelantikan semula beliau sebagai Menteri pada Mac 2020. Fadillah merupakan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Setiausaha Am & Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS). Beliau juga ialah Ketua Whip Parlimen GPS dan telah berkhidmat sebagai Naib Presiden Kanan PBB sejak 2017. Sebelum itu, beliau merupakan Ketua Pemuda PBB dari 2007 hingga 2017.
Kehidupan awal dan pendidikan
[sunting | sunting sumber]Fadillah dilahirkan pada 17 April 1962 kepada Yusof Merais dan Dayang Rosnah Abang Madeli. Beliau merupakan anak kesembilan daripada 14 adik beradik. Beliau bersekolah di Sekolah Rendah St. Mary di Sibu, dan Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang di Parit Buntar untuk pendidikan menengahnya. Pada tahun 1986, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda Undang-undang (LLB) di Universiti Malaya.
Kerjaya awal
[sunting | sunting sumber]Fadillah memulakan kerjayanya sebagai seorang peguam selepas memperoleh ijazah sarjana muda undang-undang. Pada tahun 1989, beliau menyertai politik sebagai ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang ketika itu merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN).
Kerjaya politik
[sunting | sunting sumber]Fadillah pertama kali bertanding untuk parlimen dalam pilihan raya umum Malaysia ke-11, setelah pernah menjadi pegawai dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan peguam.[1] Beliau memenangi pilihan raya bagi kerusi Petra Jaya.[2]
Selepas dipilih semula dalam pilihan raya umum Malaysia ke-12, Fadillah dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.[3]
Selepas pilihan raya umum Malaysia ke-13, Fadillah dinaikkan pangkat kepada menteri penuh sebagai Menteri Kerja Raya di bawah barisan Kabinet baharu Perdana Menteri Najib Razak.[4]
Berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum Malaysia ke-14, Fadillah telah dijadikan ketua whip pembangkang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Dewan Rakyat.
Kehidupan peribadi
[sunting | sunting sumber]Bapa Fadillah, Yusof Merais, ialah seorang aktivis masyarakat semasa era anti-penyerahan Sarawak kepada penjajah British pada tahun 1946. Beliau pernah dipenjarakan dua kali, termasuk apabila beliau dikaitkan penglibatannya dalam pembunuhan Gabenor British Duncan Stewart di Sibu pada tahun 1949. Beliau ialah rakan kepada Rosli Dhobi, yang membunuh Stewart. Yusof pernah menyertai Pergerakan Pemuda Melayu, yang menentang penyerahan Sarawak kepada British, dan beliau juga terlibat dalam kumpulan Gagak Hitam yang menentang kehadiran penjajah dan menuntut kemerdekaan Sarawak. Selepas pergerakan itu diharamkan berikutan pembunuhan Stewart, beliau meneruskan perjuangan dengan Barisan Pemuda Sarawak, yang diketuai oleh Ahmad Zaidi Adruce. Kali kedua beliau dipenjarakan ialah semasa konfrontasi pembentukan Malaysia pada tahun 1962. Yusof meninggal dunia pada usia 91 tahun pada 2018.
Fadillah berkahwin dengan Ruziah Mohd Tahir. Pasangan itu mempunyai lima orang anak.
Keputusan pilihan raya
[sunting | sunting sumber]| Tahun | Kerajaan | Undi | Peratusan | Pembangkang | Undi | Peratusan | ||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 2004 | Fadillah Yusof (BN-PBB) | 18,236 | 75% | Wan Zainal Abidin Wan Senusi (PKR) | 5,420 | 22% | ||
| 2008 | Fadillah Yusof (BN-PBB) | 19,515 | 78% | Mohamad Jolhi (PKR) | 5,118 | 20% | ||
| 2013 | Fadillah Yusof (BN-PBB) | 29,559 | 78% | Ahmad Nazib Johari (PKR) | 8,116 | 22% | ||
| 2018 | Fadillah Yusof (BN-PBB) | 28,306 | 48.9% | Nor Irwan Ahmat Nor (PKR) | 13,289 | 22.9% | ||
Anugerah
[sunting | sunting sumber]
Pahang :
Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia Peringkat Pertama, Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) – Dato' Sri (2013) [5]
Sarawak
Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pangkat Kedua, Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) – Datuk Amar (2025)
Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pangkat Kedua, Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) – Dato Sri (2022)
Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pangkat Ketiga, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) – Datuk (2010) [5][6]
Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pangkat keenam, Ahli Bintang Sarawak (ABS)
Penerima Pingat Perak Jubli Intan Kemerdekaan Sarawak (2013)
Pingat Emas Jubli Intan Kemerdekaan Sarawak (2024)
Melaka :
Darjah Kebesaran Seri Melaka Pangkat Pertama, Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) – Datuk Seri (2014)
Malaysia :
Penerima Pingat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 (2024)
Penerima Pingat Pertabalan Yang Dipertuan Agong ke-15 (2017)
Perlis :
Penerima Pingat Jubli Perak Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (2025)
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ↑ "Plight of 13-year-old draws Fadillah into politics". Utusan. 18 March 2004. Dicapai pada 6 April 2010.
- 1 2 "Keputusan Pilihan Raya Umum Parlimen/Dewan Undangan Negeri". Election Commission of Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 September 2011. Dicapai pada 6 April 2010. Percentage figures based on total turnout.
- ↑ "PBB Had Hoped For More Ministers in Federal Cabinet, Says Abang Johari". Bernama. 31 March 2008. Dicapai pada 6 April 2010.
- ↑ "Yusof's promotion to Works Minister is icing on the cake". ABN News. 16 May 2013. Dicapai pada 17 May 2013.[pautan mati kekal]
- 1 2 "SEMAKAN PENERIMA DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT". Prime Minister's Department (Malaysia). Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-07-19. Dicapai pada 9 December 2019.
- ↑ "Award comes with greater responsibility – Fadillah". The Borneo Post. 17 October 2010. Dicapai pada 18 October 2010.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Penerima Datuk Amar Bintang Kenyalang
- Penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang
- Penerima Darjah Gemilang Seri Melaka
- Penerima Panglima Negara Bintang Sarawak
- Penerima Panglima Gemilang Bintang Kenyalang
- Penerima Ahli Bintang Sarawak
- Rencana dengan pautan luar mati dari December 2019
- Orang hidup
- Anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak
- Orang dari Sarawak
- Kelahiran 1962
- Menteri Kanan Malaysia
- Menteri Kerja Raya Malaysia
- Peguam Malaysia
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-11
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-12
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-13
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-14
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-15
- Timbalan Perdana Menteri Malaysia
- Alumni Universiti Malaya

