Thursday, January 29, 2009

Lagi Melompat

Balik ke Kelantan hujung minggu lalu aku cukupkan lagi koleksi lompatan aku. Inilah antara aksi yang paling aku gemari waktu ini. Melompat itu tandanya gembiranya. Maknanya aku mahu bebas dari segalanya. Bebas daripada masalah yang terbelenggu. Dengan deruan angin laut yang kuat aku terasa yang lompatan itu betul-betul memberi nikmat.

Kali ini jadual aku begitu penuh. Bermula dari hari Jumaat hingga ke Selasa. Sabtu dan Ahad betul-betul membuatkan aku tidak dapat bernafas dengan baik sehinggalah lompatan tadi. Melayani sahabat-sahabat yang datang ke Kelantan cukup mengujakan. Bahkan aku sendiri tidak menyangka aku dapat menempuhnya. Tetapi ada juga matlamat aku yang tidak tercapai. Tiba-tiba fikiran aku begitu bercelaru. Berpusing. Hasilnya lakaran-lakaran ilham tidak dapat aku laksanakan dengan baik. Maaf pada sahabat-sahabat yang tidak sempat aku jenguk. Itu saja masa yang ada.

Menemani sahabat-sahabat ke kilang batik dan mengunjungi kenduri perkahwinan mak sepupuku membuatkan aku banyak berfikir tentang jodoh dan nikah. Sahabat-sahabat yang semuanya sudah bertanda * menjadikan aku terasa rugi. Pertanyaan bapa saudaraku yang tidak habis-habis tentang pertunangan menjadikan aku begitu tersepit. Maklumlah cucu sulung dalam keluarga. Tetapi bermain dengan sepupu yang masih menyusu membuatkan aku mahu kembali ke zaman lalu tanpa memikirkan erti jodoh dan nikah. Ah, aku masih punya waktu untuk tidak memikirkannya sehingga angka ganjil kembali. Jodoh dan nikah bukan perkara main-main. Semuanya tentang duit, keluarga, masa depan dan lebih penting Islam.

Cacing kini sudah tinggal sebumbung dengan Abah dan Umi. Mudah-mudahan usaha gigih adikku menceburi bidang ini membuahkan hasil. Sempat juga aku menolong memindahkan cacingnya yang kesakitan. Dia sendiri kurang pasti sebabnya. Benarlah bertani ini bukan senang. Teringat novel Tunggu Teduh Dulu. Kalau aku pasti tidak dapat menempuh cabaran ini. Barangkali aku juga seperti cacing itu, medium aku kini kurang sesuai. Perlu dipindahkan ke medium lain. Apa mediumnya?

Kalau boleh aku mahu terus melompat supaya aku rasa bebas, sebebasnya. Biarlah dapat terbang tentu lagi indah. Tetapi cukuplah dengan aksi-aksi terlampau ini. Memang ramai yang jelik dengan tingkahku, tetapi kalau itu membuatkan aku gembira apa salahnya. Aku dengan caraku.

Sebulan untuk 2009 hampir berlalu. Masa benar-benar suntuk untuk aku mengajar perancanganku. Februari aku mahu rancangan kewangan dan karyaku berjaya. Juga untuk gerak kerja social. Jangan lupa tanggungjawab sebagai hambaNya dan anak. Satu lagi, menambah koleksi lompatan.

Monday, January 19, 2009

Menjadi guru bukan senang rupanya!


Memang aku tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang guru, malah menjadi pensyarah juga tidak mahu. Tetapi atas permintaan seorang kakak, aku mengadakan kelas tuisyen. Murid aku bukannya ramai sangat, tiga orang sahaja. Dua darjah tiga (Fatimah dan Nazira) dan seorang darjah satu (Zakuan). Semalam aku mengadakan kelas kedua. Penat sungguh mahu memastikan mereka memberi tumpuan semasa pengajaran. Rumah aku juga lintang pukang. Habis barang dijamah mereka, daripada kereta Shell hinggalh buah limau. Minggu lepas Mereka menghabiskan coklat Hariri. Minggu ini entah apa pula!

Fatimah dan Nazira tidak banyak masalah, cuma Zakuan susah sekali mahu pastikan dia menyiapkan kerja. Qadri, teman serumahku merangkap seorang guru pelatih menyebut kepadaku betapa pentingnya rancangan pelajaran dan alat bantu mengajar. Benarlah mengajar itu bukan kerja yang senang kerana mahu memastikan pelajar seronok dan berjaya. Teringat pada guru sewaktu di sekolah dahulu. Seronok menjadi anak emas cikgu. Tentu penat mereka melayan karenah bising kami.

Che Su, mak saudaraku selalu mengatakan yang kerjaya sebagai guru bukan sesuatu yang senang. Aku memang mengakui, tetapi di hadapan Qadri aku menidakkan! Pekerja seperti aku sekadar bekerja di pejabat tetapi guru perlu membawa beban ke rumah. Aku juga begitu tidak faham kenapa ramai sekali meminta KPLI dan DPLI sedangkan dahulu masa belajar tidak sekali terfikir untuk menjadi guru. Jadi selalu aku sebut bahawa inilah punca anak-anak bangsa tidak berkualiti.

Mengajar sejam sudah memenatkan, walaupun tidak perlu berlari. Ternyata cabaran sebagai seorang guru memang berat. Aku tidak tahu sampai bila aku boleh bertahan mengajar budak-budak ini. Kalau prestasi mereka tidak bagus lagi penat rasanya.

Sehingga waktu ini aku masih lagi tidak mahu menjadi seorang guru. Kenapa kamu berebut mahu menjadi guru? Cuba ceritakan.

Thursday, January 8, 2009

Gerakku dan Cara Mereka (Bukan Dia)


Baju ini betul-betul mengimbau memori terhadap Kolej Kedua UM, Kolej Pertama UM dan sahabat di Um. Secara tidak sengaja aku menggosok baju itu Ahad lalu untuk dipakai hari ini. memang sesuai dengan hari dan hati.

Malam tadi aku menerima sms daripada Shuq tentang satu program di Kolej Pertama UM dan baru sekejap tadi ada satu lagi sms yang lebih terperinci daripada Liliana. Terima kasih!

Menjadi perintis (kalau salah, maaf) kepada sesuatu tentu mengembirakan. Melakukan sesuatu yang memang dingini tentu lebih menarik. Tetapi dipaksa untuk tidak melakukannya pada saat akhir lagi menyedihkan. Lebih mengasyikkan apabila masalah program terpaksa dihadapi ketika hati direjam dengan rasa bersalah. Walaupun rasa itu tidak pernah padam hingga kini tetapi segalanya yang sudah berakhir tiga tahun lalu terasa begitu manis. Lalu aku mahu manis itu mengalir dalam perjuangan di UM.

Memang bukan senang bila membebankan dia atau mereka dengan segala kehendak. Manis pasti ada bila diketahui air itu masih mengalir hingga kini . Kusampaikan tahniah untuk mereka yang tidak kukenali kerana Maal Hijrah ini disambut lagi dengan gerakku walau bukan dengan caraku.

Sengaja aku mencipta sesuatu yang samar-samar kerana hatiku juga berbaur. Gembira dan sedih. Ditambah apabila hati segera tersentak dengan imej-imej dia dan mereka. Kalau sahabat berkesempatan jemputlah menemui gerakku dan cara mereka. Adakah masih tertinggal namaku di situ?

Tuesday, January 6, 2009

Buku Nipis di Rak

Mengembalikan novel Odisi Tanah Kencana ke rak membuatkan aku mengintai beberapa buku lain yang harus ditemani sepanjang minggu ini. Lama aku termenung sehinggalah aku mencapai buku Siri Memahami Asas-Asas Islam : Quranic Group 1 ; Bahagian 1.
Buku yang tepat dan ringkas dengan pelbagai informasi ini disusun oleh naqibku, Mohd Rafie Yusof (seorang pejuang islam yang memang sabar dan gigih) dan sahabatku, Mohd Norhusairi Mat Husain (kini sudah kembali ke Lembah Klang). Buku ini bermanfaat sekali untuk aku mengulangkaji tentang beberapa perkara kerana setiap bahagian cukup ringkas dan jelas. Terdapat 6 bab iaitu Pengenalan Usrah, Feqah, Akhlak, Sirah Nabawiyyah, Petikan ayat dan Hadis Pilihan dan Doa Hafazan. Sekali baca tentu banyak mengingatkan aku tentang beberapa perkara mudah yang sudah dilupai. Tenyata buku ini sesuai untuk rujukan cepat, seperti nota-nota ringkas peperiksaan.
Banyak sekolah yang telah memanfaatkan buku ini, malah juga dijadikan bahan di beberapa IPT rasanya. Aku memiliki hampir kesemua sirinya. Tapi jarang benar aku meneliti kerana begitu dihimpit buku-buku yang tebal. Nipis buku ini ada hikmahnya. Rekaan dalamannya begitu mengingatkan aku tentang buku-buku rujukan sepanjang sekolah menengah kerana sedikit ilustri yang menarik. Mungkin teman-teman patut memiliknya.
Aku juga sedang membaca Dunia Ini Penuh Wang yang dibeli hujung minggu lalu semasa di Gerik, Perak. Lawatan ringkas menemui Che Su itu ku hiasi dengan lawatan ke Pest Buku Gerik bersama sepupuku, Akmal. Tiga buah buku berjaya dibeli, satu untukku dan dua untuk sepupuku termasuk untuk abangnya, Shahmi.