Thursday, September 30, 2010

Keseronkan Di Pejabat?

Hari pertama melapor diri di pejabat sekarang seorang kakitangan bersuara kepadaku, “Kami memang tunggu Fairus datang. Nanti key ini semua ni.” Sekotak data yang belum diselesaikan diletak di depanku. Sungguh siapa tidak tersentak dengan adegan begitu. Selang beberapa hari, ketua unit berbual denganku katanya, “Kakak tu memang begitu, mulut sahaja begitu tetapi hati baik.” Aku tersenyum mengingati seorang yang selalu dipanggil ‘kakak’.

Kakitangan unit kami silih berganti, yang terus kekal adalah aku, kakak dan ketua unit kami, Kak Zana. Makan bersama, membincangan segala hal kerja bersama hingga kadang-kadang seperti berperang dan menyertai aktiviti sosial seiring membuatkan kami menjadi lebih bahagia. Kehadiran dua orang sahabat rapat daripada unit lain, Yasmin dan Kak Nana menambah lagi keseronokan bekerja. Suasana kerja yang terbaik pernah dilalui, susah senang bersama bahkan gelak kami cukup untuk menggemparkan seluruh aras.

Jumaat lepas kami mengadakan jamuan raya unit secara tertutup. Sedang enak menikmati hidangan, kakak bersuara, “Semua, saya lapor diri 4 Oktober.” Ada yang terdiam hingga hilang selera makan, tapi aku sedaya upaya cuba mengawal. Alhamdulillah, selepas 5 tahun berkhidmat sebagai pegawai sambilan akhirnya kakak beroleh kerjaya yang lebih selamat dan stabil. Mudah-mudahan permulaan kepada sesuatu yang lebih baik.

Kerja dan tekanan adalah lumrah. Bebanan kerja selalu membuatkan aku tertekan walaupun tidak menerima apa-apa tekanan daripada pegawai atasan. Namun, memiliki rakan sebilik yang hebat selalu membuatkan aku merasai betapa suasana yang indah adalah ubat bagi segala kecelaruan. Hubungan yang tidak hanya terjalin di waktu kerja menambah lagi keistimewaan hubungan. Malah terasa seperti adik-beradik. Teratakku pernah dimeriah bersama-sama untuk menyediakan nasi jagung bersama kari kambing. Kalau kakak pulang ke kampung, asam pedas tetel selalu aku idamankan. Kek buah dari Rompin, popia dari Kajang dan laksa air tangan Ibu adalah antara pengikat hubungan kami yang memang menggemari makanan. Kerja dan tekanan selalu diatasi dengan makanan enak, prinsip yang selalu mendampingi kami. Sebab itulah beratku sentiasa meningkat!

Aku bersyukur mengenali seorang kakak yang banyak berkongsi ilmu dan pengalaman. Memang seorang yang berhati baik. Ternyata kami berdua memilik tembakan bicara yang pedas dan tajam. Pemergiannya memang satu kehilangan, tetapi ini adalah rahmat Allah untuknya. Sebagai adik aku bersyukur kerana dia peroleh sesuatu yang lebih baik. Perpisahan adalah sesuatu yang sukar. Aku memang takut untuk berdepan dengannya.

Kini di antara kakitangan sambilan di unit, aku yang paling lama. Tekanan cukup hebat kerana aku masih kekal dengan tahap kestabilan yang sama. Tekanan juga untuk segala kerja. Semoga aku berupaya istiqamah ddengan kudrat yang ada. Semoga kakak menempuhi hari-hari bahagia dengan indah. Jagalah anak dalam kandungan dengan baik.

Terima kasih Kak Mazuin untuk semua yang telah dikongsi bersama. Maaf pada setiap tutur dan tingkah yang tersalah.


gambar kad raya teman seunit yang tidak sempat disebarkan
Kak Mazuin dua dari kiri

Adakah petang ini akan dihiasi dengan gerimis?

Friday, September 24, 2010

Belut: Mencari Persamaan

Setiap kali balik kampung, antara menu wajib adalah paprik belut. Sungguh mengujakan apabila menikmati bersama semua ahli keluarga. Hari terakhir Ramadan tempoh hari, adikku membeli 5 kilogram belut, segar dari bendang dengan seorang petani. Maka berkendurilah kami adik beradik pada hari raya kedua dengan belut. Bergotong-royang menyediakan belut. Aku memang tak pandai nak sembelih belut, jadi aku hanya kerjakan bab-bab potong saja. Tapi ambil bab tu pun dah terpaksa bergelumbang dengan darah. Keistimewaan belut ini adalah kekuatannya. Degil sunggguh nak mati. Sudah sembelih masih bergerak lagi. Kadang-kadang masa buang segala isi perut, jantung masih lagi berdenyut kencang. Itu yang menambah kesedapan bila nak mengerjakan si belut ni.

Dalam keluarga kami, hanya Mi saja yang tak menikmati belut. Orang lain berlari mendapatkan belut. Lantaran aku pakar dalam bidang komen mengomel, lalu aku menjadi orang pertama yang dapat menikmati. Tak cukup garam ke, tak cukup manis ke, tak cukup masam ke, semua itu kerjaku. Rasa bukan setakat kuah saja, tentulah sampai ke isi sekali. Apabila dah cukup rasa, barulah masing-masing mengambil secukup pinggan rasa untuk diratah. Alhamdulillah, Mi boleh masakan kami walaupun dia tidak makan. Ada sesetengah orang kalau tak dapat makan memang sampai akhirnya tidak juga dapat memasak. Selain belut, Mi juga masakan kami ikan pari dan ikan belida yang juga tidak dimakannya.

darah belut yang bersepah..

Sering aku mencipta alasan untuk sesuatu aku tidak suka agar aku tidak terlibat dengannya. Contohnya, kalau aku malas pergi beraya di sesetengah rumah aku akan mencipta alasan. Mahu juga duduk termenung di rumah sambil menghadap televisyen. Kerja-kerja lain lagi banyak alas an yang aku cipta terutamanya hal-hal melibatkan kebun dan ladang yang penuh dengan nyamuk dalam semak, beridri di tengah panas mahupun mengotorkan tangan sekalipun gengan tanah. Seorang ibu sanggup mencari perasamaan demi membuktikan kasih sayang kepada keluarga. Membuang sejauh-jauhnya perbezaan supaya dapat berbual mesra dengan anak-anak hingga mengikuti segala rentak orang muda. Menggunakan kemahiran memasak demi sebuah hidangan yang disukai oleh kelurga. Tetapi anaknya mencipta segala asalan. Selalu memperlekeh segala. Uh, anak derhakakah aku? Ya, Allah berilakah aku ruang masa dan kekuatan untuk mencari titik persamaan dan berkati kepada kedua orang tuaku.

*Lamanya tak aktif di blog, perlu kembali aktif ni. Ramai peminat sudah tertanya-tanya. Peminat semua apa khabar?