Sunday, February 27, 2011

Malu

"Abang hisap rokok ke tak?" tanya seorang lelaki di hadapan di lif

"Tak," jawabku pendek.

“Macam mana nak berhenti?”

“Pergi hospital.”

“Mahal,” jawabnya.

Seorang lelaki lagi datang menghampiri.

“Abang, minta rokok satu,” pinta lelaki tadi.

Aku tersenyum. Sekejap saja dia boleh berubah. Aku mengenali lelaki pertama tadi sudah lama semenjak dia mengalami krisis, tetapi tidak rapat. Dia mengalami masalah ketagih gam dan melalui cerita daripada jiran-jiran dia sudah banyak kali keluar masuk pusat pemulihan. Kejadian lain lebih mendebarkan. Ada beberapa orang di tempat kediaman yang minta duit daripadaku. Semuanya yang mempunyai ketagihan termasuk ketagihan arak,

Dimana malu mereka? Ke mana menghilang?

Malu adalah sebahagian daripada keindahan perangai yang patut dimiliki. Apabila hilang rasa malu yang terlampau hingga mengemis adalah sesuatu yang mengaibkan. Aku bukan seorang yang pemalu. Melompat di tengah-tengah orang ramai adalah sesuatu keindahan. Malah melakukan aktiviti yang pelik adalah kegemaran. Aku percaya setiap orang punyai rasa malu pada tahap yang berbeza dan rasa itu akan kekal selamanya dalam diri hingga ada faktor luar yang merosakkan. Ketagihan itulah yang menyebabkan mereka ini hilang rasa malu hingga mengaibkan.

Kadang-kadang rasa malu yang ada dalam diri menghimpit aku. Membuat aku takut untuk menjadi lebih baik. Jadi aku harus lebih yakin untuk menjadi lebih baik. Sebahagian rasa malu harus dikeluarkan supaya kita dapat terbang dengan baik.

Semoga rasa malu terus kekal dalam diriku pada tahap terbaik agar memalarkan iman dalam diri.

Friday, February 18, 2011

Terpaksa

“Saya buat kerja ini semata-mata untuk menyara keluarga, nanti anak tidak boleh makan, sewa rumah tak boleh bayar.”

“Usia sudah tua, 40 lebih, susah nak dapat kerja. Jadi saya buat kerja ini.”

Itulah sebab yang diutarakan oleh dua orang pelacur yang ditangkap semasa serbuan. Laporan TV3 malam beberapa hari lalu sedikit mencuit hati. Mungkin itu hanya kata sebahagian daripada mereka yang terdesak kerana masalah ekonomi keluarga. Malah alasan yang sama mungkin diberikan oleh pencuri kabel elektrik atau juga penyeluk saku. Ketika mereka yang terdesak ini bergelumbang dengan dosa, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang terdesak bertindak lebih murni dengan melakukan kerja yang boleh menghasilkan duit seperti mengutip sampah untuk mendapatkan bahan buangan yang boleh dikitar semula.

Keadaan ekonomi kini memang menyukarkan kehidupan terutamanya kepada masyarakat kota. Kehidupan di kota indah ini barangkali memerlukan kos lebih daripada RM2000 sebulan. Aku , seorang pegawai lepasan universiti kadang-kadang sesak nafas juga memikirkan masalah ekonomi. Semenjak kecil, aku yakin kebanyakan daripada kita diberitahu oleh ibubapa untuk belajar bersungguh-sungguh supaya kelak apabila dewasa boleh mendapat pekerjaan yang lebih baik. Fenemona sebegini jelas mempamerkan kepada kita betapa wang seolah-olah matlamat utama kehidupan. Lalu kita membesar dengan hanya mimpikan kedudukan kewangan yang baik. Hidup senang dengan segala nikmat.

Barangkali setelah lemas dan tenggelam dalam masalah mendapatkan sumber kewangan yang baik, ramai yang memilih jalan yang salah iaitu mencari kewangan menerusi sumber tidak halal. Mungkinkah orang lain disalahkan kerana tindakan mereka ini? Jika zakat dan bantuan diberikan dengan sempurna tetapi mereka masih lagi bertindak sedemikian, jawapannya adalah ya. Tafsiranku ada dua kemungkinan kini – zakat tidak diagihkan dengan baik atau masih ramai lagi yang tidak membayar zakat. Sebelum kita salahkan orang lain, tanyalah dulu diri kita sudahkah kita tunaikan zakat pendapatan. Jika ya, barulah boleh kita persoalan langkah kerajaan.

Saidina Abu Bakar memerangi golongan munafiq yang tidak mahu membayar zakat menggambarkan betapa pentingnya zakat. Aku kadang-kadang terfikir adakah ramai yang sudah lupa dengan rukun Islam. Ataupun kita masih merasai bahawa wang tetap tidak cukup. Namun kita harus sedar zakat terpaksa ditunaikan kerana itu adalah tuntutanNya.

Tuesday, February 8, 2011

Aku Mahu Merayu!

Bekerja di bangunan tinggi mencakar langit dengan teknologi terhebat. Memecut kereta mewah laju di atas jalan raya terbaik. Membeli-belah di pusat jualan terbaik yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk pusat hiburan dan rekreasi. Mendiami rumah yang dihiasi dengan pelbagai perabot canggih di tengah kota hebat. Siapa yang tidak mahu berpencak dalam situasi begini?

Kemajuan adalah sesuatu yang ingin dinikmati. Aku membesar di sebuah kampung tetapi kini menikmati keindahan di sebuah kota canggih. Kuala Lumpur menghidangkan segala yang tiada di desa. Nikmat yang tiada di sebuah desa adalah seperti permainan canggih, pilihan makanan yang lazat dari pelbagai daerah, pilihan aksesori dari seluruh negara dan peluang mengejar ilmu tanpa batasan dalam pelbagai ilmu. Aku bangga menjadi sebahagian daripada penghuni kota ini terutama tentang limpahan ilmunya!

Pulang ke kampung seringkali membawa aku singgah ke kota sedang membangun. Menjelajahnya menemukan aku dengan bibit budaya kota yang gigih merangkak. Gadis-gadis dengan fesyen menghampiri Lady Gaga dan teruna dengan telatah seperti Justin Timberlake. Sakit mata memandang!


Sempatkan cucuku melihat pandangan ini nanti?

Betul kata seorang teman, pembangunan harus dibayar dengan harga sosial. Pembangunan dalam tempoh 10 tahun di kota membangun berhampiran desaku banyak membawa perubahan kepada sosial masyarakat. Pakaian yang dahulu sekadar boleh dilihat menerusi kaca televisyen, kini boleh disaksikan secara langsung.

Aku sentiasa bermimpi untuk membesarkan anak-anak di sebuah desa indah aman. Membiarkan mereka bermain di sawah pada dan sungai. Tangkas berenang dan berpencak menikmati keindahan alam. Mendalami ilmu dalam suasana yang segar. Namun segalanya mungkin mustahil jika pembangunan material dibiarkan rakus menjelajah.

Sering aku tertanya sendiri, kenapa yang dihambat hanya teknologi? Kenapa pembangunan ruh jarang sekali dipertikai? Aku masih belum menemuhi sepenuhnya hikmah kenapa Rasulullah dibawa jauh ke pedalaman menemani Halimatul Sadiah. Tetapi aku percaya kehebatan suasana desa adalah sekolah terbaik untuk anak-anakku. Kepada siapakah harus aku merayu supaya kampungku jika tidak boleh kembali seperti zaman kanak-kanakku sekurangnya kekal seperti kini untuk selamanya. Sungguh aku tidak sabar kembali bermastautin di sisi sawah bendang dengan nyanyian kokokan ayam setiap pagi.